MELAKA - Penguatkuasaan tegas dan hukuman berat bukanlah penyelesaian mutlak terhadap masalah mat rempit di negara ini, kata Ketua Program Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof.Madya Dr Rozmi Ismail.

Sebaliknya, beliau berkata masalah mat rempit pada masa ini perlu diteliti bagi menghasilkan pelan tindakan menghapuskan gejala itu di peringkat awal dan penawar berkesan yang berperikemanusiaan bagi 'memulihkan' remaja yang terjebak dengan gejala berkenaan. 

Katanya, penyelidikan berterusan yang dijalankan Perkasa mendapati mereka yang telibat dengan gejala mat rempit, majoritinya berumur antara 15 hingga 35 tahun dan tidak lagi bersekolah atau menghadapi masalah di sekolah.

"Peranan ibu bapa dalam mendidik penting dalam menghapuskan gejala ini pada peringkat awal, tetapi dalam kajian itu ada juga ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan terpaksa membanting tulang siang malam hingga anak mereka terabai hingga terjebak dalam gejala mat rempit," katanya ketika ditemui Bernama pada Seminar Keselamatan Jalan Raya di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata menghapuskan masalah mat rempit di peringkat awal terletak kepada usaha bagaimana keluarga itu membentuk hubungan erat antara anggota keluarga mereka.

Rozmi berkata bagi menghasilkan penawar berkesan untuk remaja yang terlibat dalam masalah itu, semua pihak perlu melihat perkara ini pada kaca mata mat rempit itu sendiri dan menyelami isi hati mereka.

Beliau berkata majoriti mat rempit ini akan meninggalkan tabiat buruk ini pada usia 35 tahun dan jika kita berjaya menghapuskan gejala ini pada peringkat awal, maka generasi pelapis rempit akan terus terhapus.

"Kajian juga mendapati mat rempit ini sukakan perkara mencabar, jadi melalui program Perkasa itu kita beri pada mereka, kita alihkan adrenalin mereka kepada aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan merakit di jeram, melalui cara ini Perkasa dapat memulihkan 99 peratus daripada mat rempit yang menyertai program kami," katanya.

Ditanya tentang cadangan meletakkan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain kepada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Rozmi sama sekali tidak menyetujui cadangan itu. 

"Kita kena lihat daripada konteks mat rempit ini, kerana mereka terlibat terdiri daripada kalangan belia, baru nak hidup dah tertulis rekod jenayah jadi ini akan menggelapkan masa depan mereka...benar mereka salah tetapi saya percaya penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan diperlukan. 

"Mereka ini manusia juga, kalau sudah ada rekod jenayah nanti macamana mereka nak sambung belajar, kerja atau buat apa sahaja pada masa depan bila mereka memilih jalan yang betul...cadangan itu seakan menutup jalan kepada mereka," katanya. - Bernama