HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Disember 2013

Ahli Majlis Tertinggi UMNO keluar PAS?

 ASPAN ALIAS


Ustaz Kazim Elias pula jadi isu setelah beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini. Isunya bermula apabila beliau disahkan sebagai ahli PAS, tetapi dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO seperti yang diumumkan oleh Najib. Maka sibuk dipihak PAS mengatakan bagaimana beliau (Kazim) boleh menganggotai Majlis Tertinggi UMNO sedangkan beliau adalah ahli PAS.

Sememangnya lah sesiapa pun akan mempersoalkan keadaan ini kerana bagaimana seorang itu menjadi pemimpin UMNO sedangkan beliau adalah ahli PAS. Apa fitnah yang di buat oleh PAS terhadap beliau seperti yang beliau tuduh dilakukan oleh PAS itu?

PAS mempersoalkan beliau  kerana Kazim adalah ahlinya. Sesungguhnya sesiapa boleh menjadi ahli mana-mana parti asalkan sahaja parti itu terdaftar dengan pendaftar pertubuhan. Kazim boleh menyertai Parti Komunis Malaya sekali pun jika parti itu tidak di haramkan. Itu adalah demokrasi. Tetapi jika menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, walhal beliau masih menjadi ahli PAS, itu adalah satu keadaan yang amat luar biasa. Pastinya ia mengundang banyak persoalan.

Baru semalam beliau memberikan reaksi marah kepada PAS dan mengisytiharkan dirinya keluar dari PAS. Beliau berkata beliau tidak tahan dengan apa yang dilakukan oleh PAS terhadap beliau. Apa yang sebenarnya PAS telah lakukan terhadap beliau? Hanya orang ramai mempersoalkan bagaimana UMNO mengambil ahli PAS sebagai anggota Majlis Tertingginya?

Beliau sepatutnya hanya diperlukan mengumumkan yang beliau keluar dari PAS kerana beliau sudah menjadi Ahli Majlis Tertinggi. Tidak payahlah membidas PAS semata-mata kerana PAS mempersoalkan kedudukannya yang sepatutnya di persoalkan.

Kazim tidak payah mengisytiharkan dirinya keluar dari PAS dalam nada yang marah-marah kerana beliau tidak perlu keluar pun di sebabkan beliau sudah menjadi Ahli MT UMNO.

Bayangkan ramai berpendapat yang Kazim akan masih berada dalam PAS jika kedudukan beliau tidak di persoalkan dan dalam masa yang sama menjadi Ahli MT UMNO. Bagi saya secara peribadi, PAS tidak payah mempersoalkan manusia yang belum baligh dalam politik ini. Anggap sahaja Uztaz Kazim tidak pernah wujud dan beliau tidak pernah menyertai PAS sebelum ini.

Kita doakan beliau ber ‘gumbira’ dalam UMNO dan marilah kita perhatikan beliau dengan dekat. Kita syok juga melihat seorang Uztaz yang menggalas tanggungjawab memperbaiki UMNO itu setelah kita tahu UMNO setakat ini belum ada siapa yang mampu mempertahankan intergritinya jika kita bilang seorang demi seorang dalam Majlis Teringgi itu.

Mungkin Uztaz Kazim orang yang tepat untuk membaiki UMNO itu. Mungkin Uztaz Kazim ini boleh menegur secara terbuka rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi UMNO yang terlibat dengan salah laku kepimpinan dan pentadbiran. Hanya kita berharap beliau tidak terpengaruh dan dijangkiti oleh penyakit yang menular dan merebak dalam Majlis Tertinggi UMNO yang sangat ‘contagious’ itu. Ramai berpendapat Uztaz ini tidak akan berdaya memperbaiki UMNO. Mereka menjangkakan, ‘Kazim will swim with the flow’.

Kita berharap beliau tidak menjadi seperti Marco Polo yang pergi ke negeri Cina untuk mempengaruhi budaya orang Cina dahulu. Akhirnya Marco Polo pula yang dijinakkan oleh budaya orang Cina lebih dari satu setengah kurun dahulu.

Kita berharap Uztaz Kazim tidak akan tergelincir dari pendiriannya sebagai seorang penegak syiar Islam. Kita tidak mahu melihat Uztaz Kazim menjadi seperti Jamil Khir Baharom, Hasan Ali JATI dan ramai lagi yang menaiki tangga sosial politik melalui kegiatan dakwah agamanya yang berubah setelah dihinggapi penyakit UMNO yang saya katakan sebagai penyakit yang ‘contagious’ tadi.

Kita harap Uztaz Kazim akan menjadi seperti ikan yang hidup dan berjiwa dalam lautan yang luas. Ikan hidup itu tidak masin walaupun berada dalam suasana yang masin. Kita berharap beliau tidak seperti setengah orang yang berimejkan Islam tetapi tidak seperti ikan mati.

Ikan mati jika di masukan ke dalam laut atau dalam air masin dan selepas itu di jemur, ikan itu akan menjadi ikan kering masin. Air masin itu menyerap kedalam ikan mati itu dan ikan itu menjadi ikan kering masin yang amat sedap di campur dengan gulai nenas masak kuning. Ikan mati ini tidak berjiwa walaupun matanya terbuka luas.

Kita seringkali melihat pemimpin yang berimejkan agama, berubah setelah menyertai UMNO. Malahan di negara ini suatu ketika dahulu pernah seorang pemimpin yang berimejkan agama sampai keperingkat menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi lain pula keadaannya apabila sudah sampai keperingkat tinggi politik dan siasah negara kita. Apabila termasuk kedalam suasana dalam UMNO itu mereka terpengaruh dengan budaya negatif yang ada di dalamnya seperti ikan mati yang menjadi ikan masin tadi.

Begitu juga dengan mereka yang bijak pandai bertukar menjadi orang yang tidak berdaya berfikir dan melakukan kerja yang betul apabila menyertai UMNO itu. Mereka bersedia menerima budaya rasuah dan penyalahangunaan kuasa sebagai kemestian apabila berada didalam parti yang berkuasa itu.

Pemikiran mereka menjadi tumpul, dan tidak lagi berusaha meningkatkan diri mereka untuk menjadi pemimpin yang berguna kepada masyarakat dan negara yang mereka pimpin.

Tiada ulasan: