HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2013

Bumiputera mampu kendalikan kontrak RM300 bilion

FREE MALAYSIA TODAY

MOGSC sendiri yang merangkumi 450 anggota, 90 peratus daripadanya syarikat Bumiputera.

 
Shahrullizan Rusli



KUALA LUMPUR,:Nilai kontrak kira-kira RM300 bilion yang diberi Petronas kepada syarikat Bumiputera sejak lima tahun lepas menunjukkan mereka mempunyai daya saing yang tinggi, sekali gus meraih kepercayaan firma minyak dan gas negara itu, kata Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC).

Presidennya Sofiyan Yahya berkata sememangnya syarikat Bumiputera aktif dalam industri minyak dan gas, dan ini dilihat melalui MOGSC sendiri yang merangkumi 450 anggota, 90 peratus daripadanya syarikat Bumiputera.

“MOGSC sanggup membantu syarikat Bumiputera yang mahu menceburi bidang ini,” katanya kepada Bernama berhubung penyertaan Bumiputera dalam industri minyak dan gas negara, khususnya melibatkan Petronas.

Mengakui wujud aduan berhubung syarikat Bumiputera sukar mendapatkan lesen Petronas, beliau menjelaskan ini kerana syarikat minyak itu mengikuti piawaian antarabangsa dan sangat profesional dalam pengurusannya.

Sofiyan seterusnya menegaskan Petronas tidak pernah mengetepikan syarikat Bumiputera dan jika ada kontraktor Bumiputera menghadapi isu berkaitan tender atau lesen, MOGSC sanggup menjadi pengantara untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Sebagai contoh, syarat utama (pemberian) lesen pun perlu berstatus Bumiputera, urusan pemberian tender pun, Petronas akan jemput kontraktor Bumiputera,” kata Sofiyan.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pembinaan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang di Johor turut melibatkan pemberian tender khusus untuk kontraktor Bumiputera.

Dalam pada itu, beliau meminta pengurusan syarikat Bumiputera supaya berfikiran strategik untuk merebut peluang dalam industri minyak dan gas yang menyaksikan kepakaran Bumiputera diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kepakaran kita boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Kita memang menghadapi kekurangan pegawai, dan ini merupakan satu-satunya penghalang syarikat Bumiputera untuk berkembang,” kata Sofiyan sambil menambah bahawa ia bukan sahaja berlaku dalam industri minyak dan gas negara, malah di peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau berkata syarikat Bumiputera perlu tampil dengan teknologi baharu sebagai jawapan kepada kekurangan tenaga manusia berkenaan.

Sofiyan juga meminta kontraktor Bumiputera supaya tidak mudah melenting apabila melihat beberapa projek dalam industri minyak dan gas tempatan diberi kepada pihak luar.

“Yang penting ialah hasil selepas projek itu siap, seperti aspek servis, baik pulih, pemeriksaan dan sebagainya. Peluang sebeginilah yang patut diintai syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata peluang untuk Bumiputera bukan sahaja wujud dalam Petronas, malah turut disediakan syarikat minyak antarabangsa lain yang beroperasi di Malaysia.- Bernama

Tiada ulasan: