Setelah hanya memenangi segelintir daripada kerusi yang disasarkannya di Sabah dan Sarawak, kini parti DAP memulakan satu inisiatif baru untuk memenangi hati penduduk di pedalaman Malaysia Timur.
Tidak lagi dengan hanya berceramah dan mengutuk kepimpinan Barisan Naisonal (BN), DAP kini bertungkus-lumus membawa projek pembangunan di kampung-kampung terpencil yang terlepas pandang oleh kerajaan negeri BN.
Projek kecil ini, seperti sistem bekalan air berasaskan graviti dan penjana elektrik mikro hidro, bertujuan meningkatkan kualiti hidup kampung-kampung tersebut.
Inisiatif yang dinamakan Impian Sabah dan Impian Sarawak itu juga bertujuan memecah kekangan psikologi BN terhadap orang kampung di Sabah dan Sarawak.
Ia memberi peluang kepada DAP untuk memberi sentuhan peribadi kepada penduduk pedalaman bagi membuktikan parti itu atau parti pembangkang lain, bukan petualang seperti yang dimomok BN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapaya, Edwin @ Jack Bosi, berkata dengan memberi kesan terhadap kehidupan orang kampung Sabah dan Sarawak, DAP mahu meyakinkan mereka yang ia parti yang mampu berkhidmat dan bukan sahaja pandai bercakap.
Bagaimanapun, seorang ahli akademik Sarawak berkata, inisiatif tersebut berisiko dan boleh makan diri sendiri kerana ia mirip pendekatan politik BN, iaitu politik naungan.
Di dalam permainan politik naungan, hanya parti yang paling berkuasa dan kaya akan muncul juara.
Membina jaringan di masyarakat bandar dan luar bandar
Kedua-dia inisiatif tersebut diilhamkan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang selepas parti itu dan gagasan Pakatan Rakyat gagal mencapai sasaran mereka di dalam kawasan pendalaman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Lim, yang sekarang merupakan Ketua Parlimen DAP, berkata PR harus melipat gandakan usaha untuk menembusi kawasan pedalaman di Malaysia Timur.
“Walaupun Sabah adalah antara negeri yang terkaya daripada segi sumber alamnya, ia juga mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
“Sehingga 2010, 43% daripada isi rumah di Sabah tidak mempunyai bekalan air mentah atau air terawat. Sebanyak 20% tidak ada bekalan elektrik,” katanya.
Dalam inisiatif tersebut, satu pasukan akan turun ke bawah untuk mengenal pasti kampung-kampung yang mempunyai masalah kritikal.
Penyelaras perhubungan luar bandar DAP, Tam Kar Lye, berkata kampung tersebut juga mesti terbuka terhadap pertolongan daripada DAP dan kemasukan orang luar yang akan melaksanakan projek itu.
“Kami mengenal pasti apa keperluan mereka yang kritikal seperti bekalan air atau elektrik. Kemudian sebuah kertas cadangan akan dihasilkan sebelum kita cari dana bagi projek tersebut.
“Dana dikutip daripada sumbangan awam dan penaja korporat,” kata Tam.
Sejak ia dilancarkan pada September, kempen Impian Serawak sudah membina sistem bekalan air berasaskan graviti untuk dua kampung di pendalaman Sarawak.
Bagi memulakan kempen Impian Sabah pula, parti akan membina sistem bekalan yang serupa di sebuah kampung di Kota Marudu dan di Tenom.
Satu lagi aspek penting inisiatif tersebut adalah penglibatan besar-besaran sukarelawan yang bukan ahli parti. Mereka digerakkan supaya berkampung di tapak dan berganding bahu dengan orang kampung bagi melaksanakan projek tersebut.
Mereka ini seperti Zi Xiyang yang bosan dengan aktivitinya sebagai aktivis ruang siber. Beliau ke pedalaman Sarawak untuk membina sebuah sistem bekalan air di sebuah perkampungan Bidayuh terpencil berdekatan empangan Bengoh.
“Kampung tersebut tidak mendapat pampasan selepas mereka diarahkan berpindah untuk memberi laluan kepada empangan itu. Mereka juga kehilangan tanah adat mereka.”
“Kami membina hubungan yang rapat dengan orang kampung. Malah sekarang kumpulan kami sudah memulakan sebuah kempen berasingan untuk mengumpul dana bagi menolong mereka membina sebuah balai komuniti,” kata Zi, 28.
Zi masih bukan seorang ahli DAP. Tetapi semangat berbakti kepada masyarakat yang dilahirkan dalam diri anak muda yang terlibat sepertinya, dapat meningkatkan sokongan terhadap parti tersebut.
Pada masa kini, inisiatif itu mendaftar seramai 300 ahli sukarelawan.
Api tidak boleh dilawan dengan api
Pakar sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Faisal Syam Hazis, berkata inisiatif tersebut juga mempunyai risiko kerana DAP dikhuatiri meneruskan politik naungan yang memastikan BN Sarawak terus berkuasa di kawasan pedalaman.
“BN memang pakar di dalam pendekatan politik sebegini dan mereka mempunyai jumlah duit yang besar. Apabila mereka sedar terhadap kempen DAP, mereka akan masuk dan tabur duit dan projek.
“Mereka juga akan memberitahu orang kampung bahawa BN lebih banyak duit dan lebih efektif dalam perkhidmatannya kepada orang kampung,” kata Faisal.
Situasi tersebut sudah berlaku, kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Katanya, semasa melaksanakan projek ketiga Impian Sarawak, kerajaan negeri mencelah dan menyelesaikan projek sistem bekalan air yang diterajui DAP di sebuah kampung di Betong.
“Pembabitan kerajaan negeri adalah sesuatu yang baik. Ia adalah sesuatu yang baik kerana kita memaksa kerajaan negeri melaksanakan tugas yang pada awalnya mereka patut lakukan,” kata Pua.
Faisal berkata, satu lagi risiko ialah apabila DAP bergerak berseorangan ia boleh melahirkan perasaan tidak senang di kalangan masyarakat Melayu-Melanau, komuniti ketiga terbesar di Sarawak.
“Sebelum pilihan raya negeri 2011, sokongan masyarakat Melayu-Melanau terhadap BN menurun,” kata Faisal.
Tetapi apabila DAP, yang dilihat sebagai parti masyarakat Cina, mendominasi kawasan bandar di dalam pilihan raya negeri 2011, sokongan terhadap BN di kalangan orang Melayu-Melanau kembali meningkat.
“Ini kerana dalam PRU13, sokongan Melayu-Melanau terhadap BN meningkat kepada 80 peratus,” katanya.
Memberdayakan undi luar bandar
Tetapi DAP tidak hanya membina infrastruktur fisikal di dalam kampung-kampung ini.
Tam yang menghadiri majoriti projek-projek Impian ini, berkata perbualan antara sukarelawan dan orang kampung setiap hari berkisar tentang politik.
“Kebanyakan orang kampung tidak sedar bahawa undi mereka adalah rahsia. Mereka dikelirukan dengan kepercayaan bahawa jika mereka mengundi parti pembangkang, mereka tidak akan mendapat pembangunan.
“Ramai juga menganggap wakil rakyat mereka sebagai raja. Jadi kita memberi mereka kesedaran bahawa merekalah sebenarnya raja kerana kuasa memilih wakil rakyat di tangan mereka.
“Penerangan seperti ini adalah sebahagian daripada program kita untuk memberi kesedaran dan memberdayakan mereka,” katanya.
Apabila digabungkan dengan infrastruktur fisikal, infrastruktur mental inilah yang berupaya mengubah landskap politik masyarakat pendalaman.
Faisal berkata, mana-mana parti yang ingin menjadi alternatif sebenar kepada BN di kalangan masyarakat kampung perlu memberi paradigma atau “naratif” yang boleh bersaing dengan paradigma “pembangunan hanya datang dengan undi”.
“Sekiranya projek tersebut digabungkan dengan program memberdayakan pengundi, mengajar mereka kepentingan mengundi dan perbezaan antara kerajaan dan parti politik, inisiatif seperti ini boleh mendatangkan impak,” katanya.
Buat masa kini, kata Pua, mendapat undi adalah matlamat kedua.
“Kita ke sana untuk membawa kebaikan dalam kehidupan orang kampung. Sekiranya mereka masih tidak memberikan undi kepada kita, apa kita boleh buat?
“Tetapi kita masih berpuas hati kerana kita tahu bahawa kita telah menolong mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan