Ku Azmi Ku Aman 
 Ku Azmi Ku Aman


ALOR SETAR - Beberapa pegawai Jabatan Perhutanan Kedah dihantar untuk meninjau keadaan Hutan Simpanan Kekal Bukit Perangin, Perik, Kuala Nerang yang diceroboh pihak tertentu minggu lalu.

Pengarahnya, Ku Azmi Ku Aman berkata, mereka akan melihat keadaan sebenar kawasan yang diceroboh dan membuat laporan mengenainya.

“Saya sudah hantar wakil ke sana untuk tinjau keadaan. Tetapi saya belum menerima laporan penuh berhubung kejadian itu.

"Kita memandang serius isu pencerobohan tanah hutan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi sebarang maklumat mengenai tindakan yang akan diambil terhadap penceroboh itu.

Ku Azmi berkata, laporan penuh mengenai tinjauan dan siasatan di lokasi kejadian kemungkinan dapat diketahui pada minggu hadapan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan aktiviti pencerobohan mula giat dilakukan terutama di kawasan tengah hutan tersebut bagi memudahkan mereka meneroka tanpa dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, ada kalangan peneroka haram berkenaan sudah mula menanam pokok getah dan pisang sebagai tanda sempadan kawasan yang diterokai sejak beberapa bulan lalu.