Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri dilaporkan telah menyebut bahawa ‘orang nombor 2’ dalam PAS adalah orang Syiah. Beliau juga menyatakan keanehannya bila mana para perwakilan PAS telah memilih ‘orang nombor 2’ itu untuk berada di dalam kepimpinan parti Islam.
Umum mengetahui bahawa PAS baru sahaja menyelesaikan proses pemilihan kepimpinan parti pada bulan November lepas. Oleh itu, jelas ‘orang nombor 2’ tersebut adalah merujuk kepada Mat Sabu.
Ini kerana orang nombor 2 lain iaitu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din tidak dipilih di dalam muktamar tetapi dilantik.
Perlantikan Datuk Dr Haron Din tidak dibuat di dalam muktamar lepas.
Kemudiannya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Razi telah membuat kenyataan media mengenai bukti Mat Sabu adalah penganut ajaran Syiah. Ini menjelaskan lagi maksud ‘orang nombor 2’ yang dirujuk oleh Zahid Hamidi tersebut.
Rentetan itu, beberapa orang samada dari dalam parti atau di luar parti telah menggesa Mat Sabu untuk menyaman Zahid Hamidi atau Abdul Rahim atas alasan ia serangan fitnah berbentuk peribadi kepada Mat Sabu.
Tindakan undang-undang ke atas Zahid Hamidi atau Abdul Rahim dipercayai dapat mematikan serangan fitnah ke atas Mat Sabu. Mat Sabu pula dilaporkan telah menghubungi peguamnya bagi membincangkan perkara ini.
Sebelum saya mengemukakan pandangan undang-undang berkaitan serangan fitnah ini, sewajarnya saya nyatakan bahawa saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi mahupun pengetahuan langsung daripada Zahid atau Mat Sabu berkaitan isu ini.
Meskipun saya adalah peguam dan mengenali Mat Sabu, namun saya tidak pernah mewakili Mat Sabu dalam mana-mana tindakan ke atasnya. Mat Sabu juga tidak menghubungi saya untuk berbincang mengenai isu serangan Syiah ini.
Oleh itu, ulasan saya adalah berdasarkan fakta yang diperolehi daripada sumber awam dan undang-undang yang saya pelajari.
Sesuatu penyataan itu dianggap sebagai fitnah jika perkataan itu, ‘mempunyai kecenderungan untuk merendah-rendahkan seseorang pada kaca mata orang awam secara umum atau ingin mendedahkannya kepada kebencian orang ramai, atau menghinanya atau memperkecilkannya atau menyebabkan orang ramai menjauhinya atau melarikan diri daripadanya’ [lihat - Halsbury Laws of Malaysia, Vol. 2, [2004] Reissue m/s 400].
Dalam isu ini, jelas sekali KDN dan majlis agama negeri-negeri semenjak kebelakangan ini begitu giat menggempur golongan Syiah di Malaysia.
Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Syiah ini adalah terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
Meskipun, ada pendapat antaranya oleh Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan tidak ada hinanya menjadinya penganut Syiah, namun dalam konteks Malaysia, menjadi penganut Syiah adalah sesuatu yang dianggap sebagai musuh oleh kerajaan.
Di surau dan masjid juga ada ditampalkan kenyataan bahawa Syiah itu sesat. Oleh itu, sesiapa yang berpegang kepada ajaran Syiah jelas akan dibenci dan dijauhi oleh orang ramai.
Dalam sesuatu saman fitnah, plaintif hendaklah membuktikan tiga elemen utama iaitu, pertama, bahawa pernyataan tersebut adalah fitnah. Kedua, pernyataan itu hendaklah merujuk kepada plaintif.
Ketiga, pernyataan itu telah dikeluarkan kepada pihak ketiga [lihat - Kian Lup Construction v Hong Kong Malaysia Bhd [2002] 7 CLJ 32].
Melihat kepada elemen-elemen ini kelihatan Mat Sabu tidak mempunyai kesukaran untuk membuktikan dirinya telah difitnah khususnya fitnah secara kiasan innuendo.
Namun, sebagai plaintif, Mat Sabu harus melihat juga kepada pembelaan dalam saman fitnah.
Jika pembelaan defendan itu berjaya, meskipun Mat Sabu berjaya membuktikan bahawa pernyataan Zahid atau Abdul Rahim itu sebagai fitnah, tetapi Mat Sabu akan kalah kes jika mahkamah menerima pembelaan defendan.
Dalam kes saman fitnah, beberapa pembelaan boleh dikemukakan termasuk komen berpatutan (fair comment), kepentingan bersyarat (qualified privilege), kepentingan mutlak (absolute privilege) dan justifikasi (justification) (lihat contoh kes Chew Peng Cheng v Anthony Teo Tiao Gin [2008] 8 CLJ 418 dan Sivibalan P Asapathy v The New Straits Times Press (M) Bhd [2010] 7 CLJ 885 bagi memahami lebih lanjut berkaitan pembelaan ini).
Berkemungkinan besar, defendan dalam kes ini akan menggunakan pembelaan kepentingan bersyarat dan komen berpatutan.
Sebagai contoh, mungkin kita masih ingat kes Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menyaman Tun Dr Mahathir atas alasan bahawa Mahathir telah menfitnahnya dengan mengatakan bahawa DSAI adalah seorang peliwat dan Malaysia tidak mampu mempunyai seorang menteri peliwat dalam kabinet.
Namun, mahkamah akhirnya berpihak kepada Tun Mahathir dengan sebab kenyataan Tun Mahathir itu berkepentingan awam maka DSAI gagal dalam kesnya.
Jadi dalam kes ini, jika Mat Sabu menyaman Zahid Hamidi maka Mat Sabu hendaklah menimbangkan dengan sewajarnya samada beliau akan berjaya atau tidak dalam saman tersebut.
Ini kerana, jika keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Mat Sabu maka musuh Mat Sabu samada di dalam atau di luar parti akan akan makin rancak menuduh Mat Sabu sebagai Syiah. Paling besar kesannya, adalah kepada PAS sendiri yang akan terpalit namanya disebabkan Mat Sabu kini adalah Timbalan Presiden PAS.
Justeru, saya lebih cenderung supaya Mat Sabu mencabar dan membiarkan KDN atau pihak berkuasa agama negeri untuk mendakwa Mat Sabu di Mahkamah Syariah atas sebab menganut pegangan Syiah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah serta telah melanggar fatwa mufti.
Pada saya itulah medan sebenar bagi Mat Sabu bertarung bagi membela dirinya daripada tohmahan liar ini. Sayugia juga kita fahami, prosedur pendakwaan syarie adalah berbeza dengan prosedur saman fitnah yang dinyatakan di atas.
Melihat kepada kenyataan Zahid dan Abdul Rahim ini nampaknya mereka berdua begitu yakin bahawa Mat Sabu bukan setakat penyokong Syiah bahkan seorang penganut ajaran Syiah tegar.
Maka, sepatutnya pendakwaan syarie boleh dibuat ke atas Mat Sabu dalam tempoh terdekat.
Jika Zahid atau Abdul Rahim ini gagal untuk meyakinkan pendakwa syarie untuk mendakwa Mat Sabu maka ternyata dakwaan Zahid atau Abdul Rahim ini hanyalah mainan terdesak politik bagi melebarkan pengaruh khususnya di kalangan pengundi Melayu.
Maka, Mat Sabu tidak perlu gusar dengan dakwaan Syiah yang tidak pernah terbukti ke atasnya sama seperti DSAI tidak pernah gentar dan risau berkaitan dakwaan liwat yang tidak pernah dibuktikan ke atasnya.
* Penulis adalah peguam yang bergiat aktif dalam PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan