HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Disember 2013

Kedah tak cukup peruntukan gazet candi, kata Mukhriz

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


















Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata kerajaan negerinya tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk menggazetkan kesemua candi yang terdapat di Kedah memandangkan terdapat ribuan candi berselerakan di seluruh negeri.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, disebabkan perkara itu, ada sesetengah bangunan yang dibina di atas tapak candi.

"Ada ribuan candi, jika kita mahu gazetkan semuanya bermakna kita perlu membayar pemilik tanah untuk menggunakan tanah mereka.

"Ribuan ringgit terpaksa digunakan, yang mana kita tidak mempunyai peruntukan seperti itu," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

"Rome pun dibina atas runtuhan," katanya lagi.

Justeru itu, Mukhriz berkata pihaknya mencadangkan agar hanya candi yang benar-benar mempunyai nilai sejarah dipelihara.

Perwakilan Umno Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain semalam berkata Kedah akan kehilangan satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kesemua candi digazetkan sebagai tapak warisan.

Candi-candi lama, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai itu, begitu banyak dan bertaburan di Kedah.

"Candi-candi lama terlalu banyak, ada di tepi sungai, bawah rumah, dan sebagainya.

"Satu DUN akan hilang jika semua kawasan yang mempunyai candi ingin digazetkan," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Najib Razak ketika Perhimpunan Agung Umno 2013.

Ahli arkeologi berkata kepada The Malaysian Insider, candi di Lembah Bujang yang masih belum digazetkan sudah mula dimusnahkan sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi kumpulan kajian di kawasan itu, Datuk V. Nadarajan, berkata candi Lembah Bujang yang dikatakan mula dibina sejak kurun ke-10 dan sesetengahnya sudah dirobohkan sejak beberapa tahun lalu tanpa pengetahuan umum.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat memberi jumlah sebenar candi yang sudah dirobohkan dan masih banyak yang belum digazetkan sebagai kawasan sejarah.

Tiada ulasan: