DETIK DAILY
Beliau berkata ini kerana badan kehakiman memandang serius isu rasuah dan tidak mahu disebabkan segelintir yang mengamalkannya, seluruh badan kehakiman akan mendapat kesannya.
Arifin
berkata banyak langkah pencegahan telah dikuatkuasakan sebagai usaha
mengekang gejala rasuah dari merebak ke dalam institusi kehakiman.
"Proses
pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman juga tidak terlepas
daripada prosedur pencegahan rasuah. Penapisan rekod calon-calon ini
akan dilakukan dengan merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia," katanya.
Beliau berucap pada majlis mengangkat sumpah jawatan empat orang Pesuruhjaya Kehakiman di sini semalam.
Mereka
terdiri daripada Pendaftar Mahkamah Rayuan Malaysia Datuk Che Mohd
Ruzima Ghazali; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri
Datuk Ab Karim Ab Rahman; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak
Azhahari Kamal Ramli; peguambela dan peguamcara (Sabah) Mairin Idang @
Martin.
Arifin
menegaskan penapisan rekod calon adalah bagi memastikan hakim dan
pesuruhjaya kehakiman hanya dilantik dari kalangan individu yang
mempunyai integriti yang tinggi.
Ketua
Hakim Negara itu turut berkata beliau masih lagi mendengar desas-desus
mengenai salah laku segelintir hakim dan pesuruhjaya kehakiman dan
member jaminan setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan rapi
dengan pihak yang berwajib untuk memastikan kebenarannya.
Ditanya
media kemudiannya mengenai salah laku itu, beliau berkata antaranya
tidak menulis alasan penghakiman dan bercakap kasar di dalam mahkamah.
"Para hakim dan pesuruhjaya kehakiman hendaklah lebih bersopan dengan orang awam semasa prosiding di mahkamah," katanya.
Beliau menjelaskan pada masa ini tidak ada aduan mengenai kes rasuah melibatkan hakim dan pesuruhjaya kehakiman.
"Kalau ada kita (badan kehakiman) akan menyerahkannya kepada pihak-pihak yang berkenaan," katanya.
Di
dalam ucapannya, Arifin juga menasihati pegawai badan kehakiman supaya
mempertahankan maruah dan integriti badan itu dan tidak sesekali
mengambil tindakan yang boleh mencemarkannya hanya semata-mata tidak
berpuas hati dengan sesuatu keputusan.
Beliau berkata seseorang hakim itu juga merupakan manusia biasa yang tidak sunyi daripada kesilapan.
Beliau
menyarankan supaya rasa ketidakpuasan itu disalurkan melalui cara yang
berhemah kerana badan kehakiman sentiasa bersifat terbuka terhadap
sebarang kritikan.
"Namun
ingin saya tegaskan di sini bahawa mahkamah memandang serius sebarang
tindakan yang boleh mencemarkan maruah dan integritinya dan tidak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.
Arifin
juga menegaskan kuasa untuk menghukum pesalah kerana menghina mahkamah
bukan bertujuan untuk melindungi seseorang hakim, sebaliknya ia
berperanan untuk melindungi maruah institusi kehakiman.
Beliau
berkata ini bukan bermakna mahkamah tidak boleh dikritik, tetapi
kritikan itu hendaklah dibuat dengan tertib dan bukan bertujuan
menghina mahkamah.
Ketua
Hakim Negara itu juga menasihati hakim dan pegawai kehakiman supaya
mengelak daripada membenarkan penangguhan kes dengan sewenang-wenangnya
melainkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
"Perbicaraan
secara beransur-ansur perlu dielak sama sekali. Begitu juga keputusan
dan alasan penghakiman hendaklah dibuat secepat mungkin," katanya.
Menurut
beliau ini kerana rayuan di Mahkamah Rayuan tidak dapat diteruskan
tanpa alasan penghakiman dari Mahkamah Tinggi begitu juga rayuan di
Mahkamah Persekutuan tidak boleh dijalankan tanpa alasan penghakiman
dari Mahkamah Rayuan.
Arifin
turut menasihati pegawai badan kehakiman untuk terus bekerja keras
bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan dan meningkatkan
kecekapan sedia ada walaupun badan itu berjaya melupuskan kes-kes
tertunggak melalui beberapa langkah yang telah dilaksanakan.
Beliau
juga mengingatkan orang awam termasuk peguam supaya tidak sesekali
membuat sebarang kenyataan yang boleh diterjemah sebagai satu desakan
ke atas mahkamah semasa sesuatu kes masih lagi dalam proses
pertimbangan mahkamah.
"Ini
kerana kenyataan sedemikian mungkin akan mengganggu kebebasan badan
kehakiman di dalam membuat keputusannya dan untuk kepentingan semua
pihak badan itu hendaklah diberi ruang untuk membuat keputusan tanpa
sebarang gangguan dari mana-mana pihak," jelasnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan