HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Disember 2013

Muhyiddin baca Yassin PRU14



Oleh GURU BENCI MUHYIDDIN 


Sekiranya dulu, sebelum PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) dilaksanakan, di musim cuti sekolah seperti hari ini, apabila balik dari mengawasi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya banyak habiskan masa di rumah membuat nota untuk pelajar, mengumpulkan bahan untuk persiapan mengajar tahun hadapan, menyiapkan rancangan mengajar tahunan, tetapi pada hari ini, saya rasa tidak bersemangat dan trauma sekali apabila memikirkan tahun hadapan.

Bulan Januari hingga November 2013, seluruh kudrat saya dihabiskan dengan PBS. Pada hari ini kudrat yang ada sudah tidak bersisa lagi untuk saya kumpulkan bagi menyusun langkah menghadapi tahun hadapan. Saya takut dan trauma dengan PBS dan bebanan kerja melampau yang saya percaya bukan sahaja saya rasai malah guru-guru lain juga.Saya ingin mengajak golongan yang prihatin dengan masalah bebanan guru untuk meneliti senarai tugas guru di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. 


1.         E-Operasi
2 .        E-Pangkat
3.         E-Prestasi
4 .        HRMIS
5.         SPLG
6.         E-Tukar
7.         E-Profil
8.         SPPBS
9.         Psikometrik
10.       E-SPTS
11.       APDM
12.       SPS
13.       SAPS
14 .      SARANA IBU BAPA
15.       Guru Penyayang
16.       Mentor Mentee
17.       Minda Sihat
18.       L4
19.       Konsep Kendiri
20.       DWEN
2.         1 VLEFrog
22.       I-Nilam
23 .      Zoom A
24.       EMIS
25.       SSDM dan SSDM-A
26.       SSQS
27.       NKRA - LINUS
28.       e-kehadiran
29.       IQ-PSS
30.       PROTIM
31.       1M1S
32.       Myspata
33.       E-mateks for spbt
34.       E-bulk for spbt
35 .      Ujian komptensi ICT
36.       SISTEM SKPK PRASEKOLAH
37.       penandaan buku latihan
38.       gubal soalan ujian
39.       penghasilan abm
40.       persediaan buku rekod mengajar
41.       penetapan etr / kpi setiap subjek
42.       aktiviti persatuan
43.       aktiviti sukan
44.       aktiviti koakademik
45.       kajian tindakan
46.       spsk
47.       keceriaan kelas
48.       latihan kebakaran dan kecemasan
49.       kem motivasi
50.       kemaskini fail kurikulum dan ko-kurikulum (persatuan, sukan, permainan dll)
51.       program susu sekolah
52.       program pemulihan pengayaan
53.       peka/pafa
54.       pelaporan guru bertugas harian
55.       program sekolah selamat
56.       pelaporan kantin
57 .      persiapan padang, tukang cuci baju perbarisan, kutip sampah, masak, buat         maskot
58.       program akses kendiri
59.       program pecutan upsr/pmr/spm
60.       kelas tambahan cuti sekolah
61.       projek hikmah
62.       galeria sekolah
63.       pengurusan stok dan rekod
64.       pengurusan panitia
65.       menjaga perpustakaan dan koperasi sehingga petang
66.       melatih kompang, dikir barat, pidato, kawad kaki dan macam-macam lagi pada     hari minggu
67.       menguruskan pelbagai program anjuran sekolah dan terlibat dalam pelbagai       jawatankuasa seperti pendaftaran, persiapan pentas, cenderahati, dokumentasi, pengacaraan, multimedia, buku program dan lain-lain lagi
68.       tidak termasuk tuntutan tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa seperti      kursus, LDP, taklimat, bengkel, seminar, kolokium, simposium, dll

 

Bukan itu sahaja, antara ‘biawak hidup’ paling membebankan terpaksa dipikul oleh guru-guru pada hari ini adalah PBS. Kehadiran PBS bukan sahaja menyusahkan guru, malah menghilangkan minat pelajar untuk ke sekolah.
Oleh itu, wahai ibu bapa yang prihatin, guru-guru malang, para pelajar yang menjadi mangsa keadaan, kakitangan bukan kerajaan dan awam yang lain, marilah kita bersama-sama menunjukkan keperihatinan kita dengan membantah PBS dengan menjadi ahli dan “like” di laman facebook  “Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan”.
Page ini ditubuhkan oleh satu badan NGO (Non Governement Organization) yang kini sedang mengumpul bilangan ahli dan “like” untuk pemansuhan PBS. Admin grup ini berhasrat mendapatkan 200,000 ahli dan merancang empat fasa untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan untuk tujuan pemansuhan PBS.
Walaupun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan facebook ini, tetapi ketika artikel ini ditulis pada 4 Disember 2013, dalam tempoh yang singkat, akaun ini telah mencatatkan bilangan “like” yang sungguh luar biasa iaitu sebanyak 52,756.
Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi akaun facebook anti-PBS yang menyuarakan tentangan terhadap sistem ini, antaranya “Kami Anti SPPBS Lembap” berprofilkan gambar seekor siput babi, “Hapuskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah,” “PBS membebankan GURU, membosankan Pelajar, membodohkan IBU BAPA” dan lain-lain lagi akaun facebbok..
Lebih parah lagi, apabila pelajar juga telah mula membuka facebook anti-PBS mereka sendiri, antaranya “Kami Benci PBS –P:punca B:budak S: stress.” Di akaun  facebook “Kami Benci PBS- Penyeksa Budak Sekolah,” saya terbaca satu kenyataan “Budak UPSR dah ambik result , so prepare lah ye . Tahun depan PBS . Padan muka !”
Mengikut perkiraan, terdapat lebih daripada tiga akaun anti-PBS di facebook ditutup termasuk beberapa akaun facebook oleh pelajar kerana dikatakan memalukan Kementerian Pendidikan.
Itu baru facebook. Untuk menyelami perasaan sebenar pelajar terhadap PBS, anda juga boleh membaca diari digital mereka iaitu blog. Antara yang sempat saya petik adalah dari blog AmirahSahidi’s, di mana pelajar ini secara jujur meluahkan beliau menyampah dengan PBS. Katanya, “Walaupun tengah Final Exam, cikgu sempat lagi edarkan kertas - menyampah” dengan caption “Batch 99: No more word M.E.R.D.E.K.A in our mind- sadlife”.
Seorang pelajar di blog diary-erin.blogspot.com mengatakan “Sumpah kita tak suka PBS..Aku tak nak PBS. Aku nak PMR. Aku bencilah PBS. Kertas berlambak kena buat dalam 1 hari.” Di mfantasticworld.blogspot.com bertajuk “Our World: PBS SUCKS”, pelajar ini menyatakan “PBS wei PBS. Menyampah.. PBS ni pun, pergi bla lah..Kenapa my batch baru nak ada PBS.”Tidak ketinggalan juga di Twitter bertajuk Fakta PBS, komen yang diberikan oleh anak-anak kita begitu menyedihkan, “Budak UPSR dah lega. Budak PMR sedang gembira. Budak SPM sedang terseksa. Budak PBS sentiasa merana merana”.
Itu beberapa luahan yang sempat saya petik dalam ruangan yang terhad ini. Antara perkataan yang diasimilasikan dengan PBS adalah perkataan-perkataan seperti “menyampah”, “benci” ,“sucks”, “stress”, “merana” dan “sadlife".
Jujur saya katakan, sejak PBS dilaksanakan saya belum pernah mendengar baik guru atau pelajar memilih pelaksanaan PBS. Hanya di kaca televisyen sahaja PBS digambarkan begitu positif.
Saya terpanggil untuk menulis setelah begitu muak apabila hampir setiap hari disajikan dengan muka Muhyiddin di Buletin Utama dan juga Berita Perdana jam 8. Lihatlah betapa bahagianya Muhyiddin. Hari-hari beliau tersenyum di kaca televisyen. Di semua jabatan termasuk Jabatan Penerangan, kroni-kroninya telah ditapakkan untuk mengelabui mata semua sehinggakan yang hitam pun nampak putih. Begitulah juga dengan PBS. Media massa sentiasa memainkan isu tentang kejayaan sistem pendidikan, namun ‘hanya manikam mengenal jauhari.’ Pada hari ini media massa tidak boleh lagi menipu kerana masyarakat kini semakin intelek dan bijak  membezakan mana kaca dan mana permata. Yang tinggal hanyalah perasaan mual dan loya kerana ditipu hidup-hidup.
Pada bulan Mei lalu, saya juga ada terbaca suatu pembohongan yang benar-benar menyirap darah saya iaitu “guru muda sokong Muhyiddin” oleh blogger rezabtanahmelayu.blogspot.com. Persoalan yang terlintas di benak saya, adakah ini kerja cybertroopers atau kerja kaki putar alam?
Pernahkah anda mendengar istilah ‘cybertroopers’? ‘Cybertroopers’ adalah penulis yang digaji secara khusus untuk menjadi “askar” dan “bertempur” di alam maya. Hampir semua ahli politik UMNO mempunyai cybertroopers masing-masing. Cybertroopers ini juga mempunyai pelbagai ID akaun facebook. Mereka akan menyamar menjadi individu berlainan semasa memasuki laman sesawang, blog, facebook, twitter dan lain-lain lagi untuk membela majikannya. Mereka juga sering menerpa di ruangan komen untuk menyelamatkan majikannya daripada dihentam pengunjung. Mereka juga bertindak untuk menulis artikel bersifat puji-pujian.
Kesimpulannya, pasti Muhyiddin tertekan dan susah hati sehingga terpaksa mengerah cybertroopersnya untuk menghasilkan sebuah pembohongan yang tidak cerdik bertajuk “guru muda sokong Muhyiddin.”
Mengapa saya katakan ini semua adalah kerja cybertroopers? Kerana manusia yang tidak berkepentingan tidak akan menegakkan benang yang basah dengan maklumat palsu. Jauh panggang dari api. Itulah peribahasa paling sesuai. Dengan melihat kepada tugas-tugas guru yang disenaraikan di atas, sangat sukar bagi warga pendidik apatah lagi guru muda dari kalangan generasi Y untuk menyokong Muhyiddin.
Saya juga sempat menjenguk ke beberapa laman web berkaitan pendidikan. Nampaknya semakin hari semakin ramai guru yang tampil meluahkan kekecewaan mereka kerana sudah tidak dapat menanggung bebanan tugas yang semakin hari semakin bertambah.
Antara isu yang hangat diperbualkan tidak lain tidak bukan PBS. Saya tidak faham mengapakah PBS yang telah ditongsampahkan oleh negara-negara maju dikutip dan diguna pakai di Malaysia? Sedangkan negara maju yang mempunyai kelengkapan serba canggih di mana di setiap kelas dilengkapi dengan komputer, segala bagai peralatan saintifik, jumlah murid yang kurang daripada 20 orang dan setiap guru mempunyai pembantu guru telah memilih untuk memansuhkan PBS, tetapi Malaysia pula sebaliknya.
Dalam iklim pendidikan Malaysia yang tidak mampu menggaji pembantu guru, bilangan murid yang mencecah 40 orang sekelas, kekurangan kemudahan dalam bilik darjah, Malaysia pula ingin mencuba nasib untuk melaksanakan PBS. Di manakah letaknya akal fikir seorang yang sepatutnya mempunyai daya intelek yang tinggi seperti Muhyiddin, umpama satu balingan dadu yang mengenai sasaran, PBS terus dilaksanakan?
Khabar angin mengatakan PBS ini dicadangkan oleh anak Muhyiddin yang berada di luar negara. Wallahualam. Walau siapa pun yang memberikan cadangan yang saya kira kurang bernas ini, Malaysia seharusnya membuat kajian terperinci sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun serta mengambil kira juga pandangan golongan pelaksana iaitu guru sebelum apa-apa perubahan hendak dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.
Malah menurut satu rencana dalam majalah NUTP terkini 2013, Australia yang dulunya cuba menggunakan kaedah PBS di sekolah mereka dikhabarkan sudah kembali kepada sistem lama. Australia mengakui terdapat banyak kelemahan PBS, antaranya laman sesawang yang "slow", menambah kerja perkeranian kepada guru, guru memerlukan kemudahan internet, masa lewat malam sehingga ke pagi untuk "key in" markah, ‘evidence’ perlu disemak sedangkan sukatan pelajaran masih belum habis dan banyak lagi masalah lain yang timbul.
Malaysia tidak boleh menafikan perkara ini. Buktinya, SPPBS pernah diarahkan untuk ditutup sementara kerana masalah akses dan juga penyelenggaraan. Bukankah ini membebankan guru kerana kami terpaksa memasukkan data dalam kapasiti yang sangat banyak apabila ianya dibuka semula? Walaupun Muhyiddin melalui KPM mengambil pendekatan memujuk, namun masih tidak mampu meredakan kemarahan guru-guru yang telah diabdikan sebegini rupa sehingga waktu makan dan waktu tidur pun terabai.
Muhyiddin juga tidak seharusnya lupa, kita bukan rakyat di negara maju. Dengan pendapatan isi rumah per kapita masih ditahap yang rendah, tidak dapat dinafikan PBS membebankan ibu bapa dari segi kewangan lebih-lebih lagi dalam penyediaan “evidence”.  Pembaziran kertas berlaku setiap hari dan yang menjadi mangsa adalah para pelajar kerana terpaksa mengeluarkan wang. Guru juga terpaksa menampung sebahagian dari perbelanjaan fotostat untuk pelajar yang kurang berkemampuan. Ini kerana pejabat sekolah tidak sanggup untuk mengambil pesanan fotostat dalam kuantiti yang banyak. Bukan itu sahaja, ibu bapa turut terbeban apabila pada masa yang sama murid-murid disuruh membeli buku kerja kerana guru-guru tidak mampu menyediakan instrumen sendiri seperti yang dikehendaki kementerian. Itu belum masuk evidence seperti menyediakan folio dan menangkap gambar.
Guru-guru juga sudah tidak tahan dengan PBS sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata don’t push a loyal person to a point where they don’t give a fu**”, yang bermaksud, Jangan terlalu mendesak guru-guru yang selama ini setia berkhidmat ke satu tahap di mana mereka sudah tidak kisah terhadap apa-apa lagiyang boleh dirujuk di bahagian komentar di laman sesawang Malaysianreview bertajuk “Mampus Muhyddin Kena Gosok Dengan Cikgu Guru Kecewa”.
Cuba anda fikir sejenak, jika satu hari guru-guru ada tiga kelas dan untuk setiap kelas guru berhempas-pulas untuk habiskan “band”, guru-guru yang semakin penat tetap akan masuk ke kelas, tetapi tidak ada lagi set induksi dan powerpoint macam dahulu, hanya mencampakkan soalan PBS di meja murid. Ini sebenarnya bertentangan dengan naluri seorang guru yang inginkan kepuasan apabila mengajar dan gembira apabila dapat menyampaikan ilmu demi mencari keredhaan Allah. Atas dasar inilah kebanyakan kami memilih profesion keguruan sebelum menyedari profesion keguruan hanyalah indah khabar dari rupa dan penuh dengan penipuan.
Sejak kehadiran PBS dan pelbagai lagi bebanan tugas lain, keseronokan menjadi guru diragut dalam sekelip mata. Pada hari ini kami diajar untuk menipu, menipu dan menipu. Kami dipaksa menipu semasa memberi markah kerana mengikut arahan pentadbir yang mahukan semua pelajar lulus sekurang-kurangnya band 3. Bukan itu sahaja, apabila terlalu penat menanda kertas dalam kapasiti yang begitu banyak, kami terpaksa menanda kertas-kertas PBS secara ala kadar dan mengisi markah secara semberono dan membuta tuli.
Di pihak murid-murid pula, bayangkan berapa banyak latihan yang mereka perlu jawab dalam satu hari sehingga para pelajar naik menyampah. Guru-guru tidak banyak memberi penerangan seperti dahulu kerana sibuk mengejar dan menghabiskan “band”. Kalau penerangan diberikan sekalipun, ianya umpama naik kapal terbang tanpa transit. Keadaan bertambah parah apabila seseorang guru itu dalam MC (medical leave) maka berlambak-lambaklah soalan yang dilonggokkan di meja murid pada keesokan hari. Murid-murid terpaksa menjawab soalan-soalan PBS dalam masa yang singkat. Akhirnya dengan segala teknik-teknik licik yang dikongsi bersama rakan-rakan sekerja, soalan PBS berjaya disudahkan, tetapi pelajar tidak faham apa-apa.
Inilah situasi yang berlaku kepada pelajar-pelajar di sekolah saya. Mereka bukan sahaja tidak faham, tetapi mula bosan. Murid-murid saya meluahkan kebosanan dan protes sehingga saya terpaksa pujuk anak-anak murid. Saya suruh mereka bersabar. Saya kata, “kami cikgu-cikgu faham apa yang anak-anak lalui, cikgu pun susah juga. Kita sama-sama susah tapi kita buatlah setakat yang termampu.”
Jujurnya, semangat keguruan yang dulunya hangat membara kini kian hilang. Bara sudah jadi sejuk. Jika takat beku ais pada suhu 0 °C, motivasi kami, guru-guru dan murid-murid adalah di bawah paras beku sejak PBS diperkenalkan. Itulah saki baki bara yang ada pada semangat juang kami. Ianya umpama bara yang hidup segan mati tak mahu, sejuk dan dingin, bahkan Gunung Marapi di Indonesia pun bisa jadi sedingin salju Eropah jika dicampakkan dengan semangat juang seluruh guru dan murid yang ada pada hari ini selepas kehadiran virus PBS.
Lebih memilukan murid-murid sudah tidak ambil serius dengan latihan PBS yang bertubi-tubi ini lagi. Mereka sudah tidak endah dengan markah yang dijanjikan akan dibawa ke tahun hadapan berbanding ketika PBS mula-mula diperkenalkan. Mereka lebih gemar mendengar leteran guru dari menyiapkan kerja kerana bagi mereka kerja-kerja ini tidak berkesudahan. Azam mereka bertambah luntur apabila melihat guru yang menanti di pintu kelas pada waktu pertukaran juga sudah bersedia dengan kerja yang sama banyak dengan guru-guru sebelum ini.
Secara mudahnya, pelajar-pelajar sudah bosan dengan latihan dalam kapasiti yang banyak dan sudah tiada motivasi untuk belajar. Salah seorang pelajar saya juga  memberitahu, minatnya untuk belajar semakin pudar kerana tidak ada persaingan untuk mendapat markah tertinggi lagi. Pelajar yang lambat menangkap atau kurang pandai akan diberi peluang sebanyak tiga kali untuk mencapai “band” dan latihan akan dipermudahkan pada setiap kali percubaan. Ini mewujudkan perasaan kurang senang dalam kalangan pelajar-pelajar pandai.
Sepertimana yang saya katakan tadi, perihal “Guru muda sokong Muhyiddin” yang ditulis oleh kaki putar alam dalam rezabtanahmelayu.com pula adalah penipuan paling besar dalam sejarah pendidikan. Guru-guru yang hampir pencen ketawakan guru-guru muda. Mereka kata, “dulu zaman kami mana ada benda-benda mengarut ni – PBS, SAPS, I-NILAM, E-PRIHATIN, SPPBS, SSDM, SSDM-A, APDM, SMM, SPS, e-prihatin, e-prestasi, hrmis, e-operasi, sekarang kau orang buatlah ya, kami dua tahun lagi dah nak pencen”.
Begitulah komen guru-guru tua. Jadi siapakah yang bertanggungjawab atas maklumat palsu “Guru muda sokong Muhyiddin”? Jika guru-guru tua pun boleh benci Muhyiddin sampai separuh mati, inikan pula yang berdarah muda yang dihempapkan dengan pelbagai kerja kerana dikatakan masih bertenaga. Oleh itu siapa lagi yang sanggup menyebarkan dakyah dan maklumat-maklumat palsu ini kalau bukan kerja cybertroopers Muhyiddin atau individu-individu yang berkepentingan yang lain?
Jika difikirkan baik-baik, bagaimana kami mahu menyokong Muhyiddin. Masa depan kami dalam dunia pendidikan masih panjang. Oleh itu, kami adalah golongan barisan paling hadapan dan pastinya paling lantang menentang sistem-sistem ciptaan Muhyiddin.
Mungkin Muhyiddin sedar peranan dan sokongan guru terutama guru muda penting sehingga terkeluarnya artikel itu. Kalau sudah tahu, baguslah, jangan bebankan kami dengan kerja-kerja yang tidak masuk akal lagi. Ingatlah doa orang-orang yang ditindas tidak ada hijab dengan Allah SWT.
Bukan itu sahaja, dalam The Edge Financial Daily pada 16 Mei 2013 The Parents Action Group For Education (PAGE) atau golongan ibu bapa juga dilaporkan sangat kecewa dan tidak berpuas hati dengan pelantikan semula Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran. Penolakan terhadap Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran juga disuarakan oleh pengerusi Asian Strategic Leadership Institute’s (Asli) Centre for Public Policy Studies (CPPS).
Oleh itu, wahai Muhyiddin, berhatilah-hatilah dalam setiap langkah anda, jangan sampai terlucut dari jawatan pada PRU 14 nanti kerana kami guru-guru tidak akan lupa pada setiap penindasan dan kesusahan yang terpaksa kami lalui demi memenuhi angan-angan anda.
Dek bebanan tugas yang melampau, bukan sahaja keberkesanan pengajaran terjejas, berlaku penipuan dan penggunaan strategi-strategi licik setiap hari, malah fikiran menjadi kusut dan banyak hubungan yang musnah. Rakan sekerja bercerita kepada saya, beliau hampir bercerai dengan suaminya minggu lepas kerana terlalu fokus pada kerja. Suami mana tidak kecil hati apabila kerja sekolah sampai tengah malam pun tak siap-siap. Boleh kata hari-hari begitu.
Hendak dijadikan cerita, satu hari anak kepada kawan saya demam. Suaminya suruh si isteri bawa anak ke klinik kerana dia outstation dua hari, tetapi isterinya menangguhkan arahan suami kerana dia kata anaknya demam biasa-biasa. Apabila balik dari outstation, si suami bertanya kepada anaknya sama ada emak telah membawanya berjumpa doktor. Anaknya yang berumur 4 tahun dengan jujur menjawab, “belum” dan si ayah terus bertanya, “mak buat apa?” dan anak sekali lagi menjawab dengan jujur, “mak buat kerja sekolah”. Suami yang balik dalam keadaan kepenatan terus mencampakkan beg dan melafazkan kata-kata “Ko (kau) ni bukan ibu. Ko ni syaitan. Syaitan pun tau jaga anak. Kalau kau bawa balik kerja sekolah ke rumah lagi, aku ceraikan kau”.
Inilah dilema yang terpaksa kami hadapi sebagai guru. Janganlah salahkan guru. Kami hanya melaksanakan tanggungjawab. Bebanan yang dicampakkan sudah cukup berat, tetapi berhadapan dengan cercaan keluarga apatahlagi suami tersayang lebih berat lagi.
Itulah juga agaknya yang berlaku kepada guru yang terlupa perihal anaknya yang ditinggalkan di tempat duduk belakang kereta. Hanya guru yang faham tugas guru. Kami, apabila sampai sahaja di pagar sekolah, otak bagai diprogramkan, segala senarai kerja seolah-olah terpapar di skrin minda. Pada waktu itu, tiada apa yang lebih penting melainkan menyiapkan kerja yang tidak ada penghujungnya.
Mungkin ini jugalah yang berlaku pada Nor Zatusy Hazwa yang tertinggal anaknya di dalam kereta. Jadi janganlah kalian menghukum Nor Zatusy Hazwa. Ini bukan kecuaian individu, tapi ini adalah bukti guru pada mata kasar dan pada zahirnya sahaja manusia, pakai baju, pakai seluar, tetapi otak umpama komputer yang diprogramkan untuk bekerja, bekerja dan bekerja.
Ingat, ini juga bukan insiden pertama guru terlupa anak dalam kereta. Tahun lepas di Johor Bahru sekitar Jun hingga Julai juga pernah berlaku insiden sama. Seorang guru, Sharnaath Kumar terlupa anaknya yang ditinggalkan dalam kereta sebaik sahaja masuk dalam pekarangan sekolah. Apbila kereta diparkir, beliau bergegas ke bilik guru. Khabar angin dalam kalangan guru mengatakan guru tersebut sedang tekun mengisi markah dalam pangkalan data SAPS (Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah) untuk ujian pertengahan tahun sehingga terlupa anaknya masih dalam kereta.
Muhyiddin tidak akan sedar kepenatan dan kesusahan yang terpaksa kita lalui. Satu demi satu bebanan ditambah. Selagi dia memegang jawatan Menteri Pelajaran, selagi itulah kita akan diabdikan untuk memenuhi angan-angannya yang menggunung tinggi. Jika tidak percaya, lihat sahajalah di kaca televisyen, asyik muka dia sahaja sehingga dia lebih popular dari bosnya, Najib Razak baik di TV1, TV2 atau TV3. Bahkan siaran untuk ucapan Muhyiddin lebih panjang berbanding Najib seolah-olah ada permainan politik di situ.
Bayangkan apa yang akan berlalu jika angan-angannya tercapai dan dia berjaya dalam misinya untuk menggulingkan Najib secara halus dan menjadi Perdana Menteri. Sudah pasti Malaysia akan hancur lebur seperti hancurnya sistem pendidikan di bawah pentadbirannya pada hari ini. Pasti Malaysia akan jatuh merudum dan hancur-lebur seperti hancurnya Jepun dek ledakan Hiroshima-Nagasaki.
Apa yang paling menyedihkan kami adalah keluhan dan tangisan kami, warga pendidik adalah lagu merdu bagi Muhyiddin. Semakin kami meraung meminta belas simpati, semakin rakus dan galak Muhyiddin bertepuk tangan dan menuding jari mengarahkan itu dan ini. Janji bahawa bebanan tugas guru akan dikurangkan hanya tinggal janji. Inilah janji-janji yang dicapati oleh Barisan Nasional.
Wahai Muhyiddin kami bukanlah anjing-anjing jalanan yang melolong dan menyalak hanya kerana suka-suka. Guru adalah insan yang penyabar. Kami tidak akan bersuara jika melibatkan isu yang remeh temeh dan tidak serius.
Saya ingin menyeru semua pihak agar jangan menghukum Nor Zatusy Hazwa atau Sharnnath Kumar dengan mengatakan musibah yang menimpa mereka adalah kecuaian mereka sahaja sementara Muhyiddin dibiarkan terus menuding-nuding jari mengarahkan itu dan ini. Kita orang Islam juga harus terima qadhak dan qadhar Allah.
Saya juga ingin mengajak guru-guru, ibu bapa dan kumpulan NGO yang prihatin terhadap masalah pendidikan negara yang semakin meruncing ini untuk bergabung dan terus menyuarakan penolakan terhadap Muhyiddin dan Barisan Nasional supaya  mereka mendapat signal yang jelas yang mereka tidak diperlukan lagi untuk menerajui negara. Kemenangan nipis UMNO yang hampir-hampir tumbang kepada Pakatan Rakyat pada PRU13 juga salah satunya berpunca daripada protes guru-guru dan orang ramai terhadap sistem pendidikan yang bercelaru dan membebankan sehingga memaksa guru-guru yang sebelum ini menyokong UMNO beralih arah.
Terima kasih juga saya rakamkan kepada Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar kerana memahami apa yang kami lalui dan cuba untuk membela nasib kami di Dewan Rakyat pada Julai lalu dengan menggesa kerajaan menghentikan PBS walaupun kerajaan tetap memekakkan telinga dengan apa yang kami lalui. Saya mewakili guru-guru seluruh Malaysia berterima kasih atas keprihatinan anda, V.Sivakumar . “Thank you again from the bottom of our heart.”
Rakan-rakan seperjuangan sekalian, kilang pun akan punah jika hari-hari dilambakkan dengan kerja yang tidak henti-henti, inikan pula kita manusia biasa. Ya, kita tidak punya senjata, tetapi ingatlah mata pena lebih tajam dari mata pedang. Inilah senjata peragas kita. Kita guru, perjuangan kita adalah dengan penulisan kita dan pemikiran kita, dengan undi kita dan suara kita pada pilihan raya umum nanti.
Juga sebagai seorang hamba, tatkala berhadapan dengan musibah, marilah kita bersama-sama kembali kepada Yang Maha Esa dengan merapatkan saf, mengangkat tangan dan bermunajat beramai-ramai diimamkan oleh Tuan Guru kita supaya Tuhan mempermudahkan urusan kita dan sekiranya perlu, kita aturkan satu perhimpunan damai dengan penuh disiplin, kesopanan serta tatasusila untuk menyuarakan kepenatan kita terhadap beban tugas yang melampau ini.
Dari dulu lagi guru adalah saf yang menghormati ‘umarak’ (pemimpin). Kami tidak perlu diberi amaran jangan menentang kerajaan, jangan berdemonstrasi, jangan menyertai perhimpunan haram, jangan itu dan jangan ini. Kami akur bukan bererti kami takut, kami diam bukan bererti kami bisu, kami turut bukan bererti kami lembu. Tanpa amaran-amaran sebegini sekalipun, kami tetap teguh di belakang kerajaan demi memajukan bangsa dan agama. Bukannya kerana kami takut. Kami tidak pernah takut. Kami percaya sebagai seorang Muslim, takut dan taqwa hanya layak dipaksikan kepada Allah SWT dan bukannya pada manusia.
Walau bagaimanapun, jika kita mempunyai pemimpin yang zalim, menzalimi kita dengan kerja tidak henti-henti sehingga kaum Hawa jadi isteri derhaka, si suami mengabaikan tanggungjawabnya, rumah tangga porak-peranda, maka saya yakin pemimpin sebegini selayaknya ditolak dan ditentang secara lantang dan terbuka.
Sudahlah di sekolah sehari suntuk berhempas pulas, balik pula lewat petang, kadang-kadang hari minggu pun datang sekolah, di rumah pula terpaksa menyiapkan kerja-kerja yang tidak selesai di sekolah. Di manakah keadilan? Kebanyakan suami, apabila isteri pulang, mengharapkan masa untuk bersama. Apabila kami balik lewat petang atau mengadakan kelas tambahan pada hari Sabtu dan Ahad, tidak pernah pula suami merungut kerana faham itulah tugas guru. Walau bagaimanapun, seperti nasib yang menimpa kawan saya tadi dan guru-guru lain, sudahlah balik lewat, kerja-kerja sekolah disambung lagi di rumah, suami atau isteri mana tidak kecewa. Teringat pula kata-kata seorang pentadbir di sekolah saya, “masalah rumah jangan bawa ke sekolah”, tetapi mengapa masalah sekolah hari-hari terpaksa digalas ke rumah?
Marilah guru-guru, kita sama-sama berganding bahu menentang kezaliman yang berlaku pada diri kita. Sebelum perkara lebih buruk terjadi kepada keluarga kita, kepada rumah tangga kita, kepada hubungan kita, marilah kita sama-sama berjuang, biar Muhyiddin dan pihak kerajaan sedar bahawa kita adalah manusia dan kesabaran manusia ada had dan batasnya. Kita bukanlah robot dan kita juga bukanlah lembu. Jai, cukuplah selama ini kita diam, berpeluk tubuh dan menjadi lembu yang dicucuk hidungnya. Marilah kita sama-sama adakan satu perhimpunan aman beramai-ramai untuk menyuarakan penolakan kita terhadap sistem-sistem mengarut pada hari in, demi meletakkan noktah pada keperitan dan penderitaan yang kita terpaksa hadapi.
Saya juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kepincangan pendidikan negara untuk menjadi ahli dan “like” di laman facebook “Kami Mahu SPPBS Dihapuskan.”  

Tiada ulasan: