HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Disember 2013

Pantau kenyataan langgar syarak

   


MSTAR ONLINE


UNIT Audit Syariah mula ditubuhkan oleh Majlis Syura Ulama PAS bagi memastikan kelangsungan dakwah dan politik jemaah ini kekal berada atas landasan Islam.

Beberapa isu yang muncul kebelakangan ini sehingga membabitkan aliran pemikiran sesat yang berbahaya kepada ummah menambah kepentingan unit ini segera bertindak untuk mengekang penularan fahaman tersebut dalam jemaah.

Ikuti penjelasan dan fungsi unit ini oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Nik Muhammad Zawawi Salleh bersama wartawan Harakah, MOHD ARIF JUHANI.

WARTAWAN: Ramai yang masih belum jelas berhubung dengan penubuhan Unit Audit Syariah. Minta ustaz jelaskan unit ini secara terperinci? 

NIK ZAWAWI: Unit Audit Syariah ini ditubuhkan hasil daripada usul yang dikemukakan oleh perwakilan PAS dalam muktamar tahun lepas. Namun disebabkan beberapa isu dan peristiwa besar yang kita hadapi termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), jadi penubuhannya agak terganggu dan tergendala.

Secara mudahnya, unit ini diletakkan bawah pengendalian Majlis Syura Ulama PAS dan dianggotai oleh lima orang ulama’ yang mempunyai tauliah dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang syariah yang pelbagai seperti falsafah, ekonomi dan sebagainya.

Senarai anggota ini pula memang kita sengaja tidak mahu umumkan kepada masyarakat dan media bagi memastikan unit ini beroperasi secara rahsia dan tenang. Ini keputusan yang kita ambil bagi memudahkan urusan.

Namun begitu, kita sudah beroperasi berdasarkan kepada maklumat dan laporan yang sudah diberikan tetapi semuanya adalah rahsia.

Apa bezanya unit ini dengan Jawatankuasa Disiplin PAS pula?

Bezanya ialah unit ini hanya fokus kepada isu syariah yang membabitkan kenyataan dan perbuatan pimpinan PAS yang melanggar syarak. Tetapi kita tidak mempunyai kuasa untuk menghukum yang tertuduh seperti memecat atau menggantung keahlian, sebaliknya, lebih menumpukan kepada pendekatan perbincangan, nasihat dan sebagainya.

Ini semua dilakukan secara rahsia. Apatah lagi tujuan kita bukan untuk mencari keaiban sesiapa tetapi berusaha membetulkan pandangan dan tindakan pimpinan yang akan memberi kesan buruk kepada jemaah ini.

Bagaimana proses pelaksanaan unit ini dibuat?

Siasatan kita bermula melalui arahan Majlis Syura yang mendapat maklumat tentang sikap pimpinan yang dianggap bercanggah dengan adab berjemaah dan perjuangan Islam.

Prosesnya ialah laporan disampaikan kepada Majlis Syura dahulu sebelum yang tertuduh menjalani siasatan. Jadi unit syariah ini akan melakukan audit segala laporan yang disampaikan termasuklah berbincang dengan tertuduh. Maknanya, kita berusaha untuk memastikan kepimpinan jemaah dipandu selaras dengan tuntutan syarak.

Selain itu, Audit Syariah akan dilaksanakan juga terhadap semua badan yang berada dalam parti.
Pendek kata, unit ini bukan menjurus kepada hukuman walaupun Majlis Syura Ulama boleh bertindak kerana dasar kita hukuman adalah yang terakhir.

Apa yang mustahak ialah kita lebih mendahulukan pendekatan menasihati dan mengembalikan semula apa juga masalah yang berlaku dalam parti kembali kepada landasan yang betul. Itu dasar yang paling harmoni manakala setiap kesalahan yang dilakukan oleh pimpinan tidak akan didedahkan kepada umum atau kata lainnya adalah eksklusif.

Bagaimana kalau dasar harmoni unit ini tidak diendahkan pimpinan?

Sekiranya nasihat tidak dipatuhi, maka, kita akan bertindak tegas melalui Majlis Syura Ulama. Ahli dan pimpinan harus ingat bahawa apabila kita duduk dalam jemaah yang memperjuangkan Islam, wajib kita taat dengan arahan pimpinan.

Majlis Syura bertanggungjawab memandu semua jentera parti supaya perjuangan ini tidak dibatalkan oleh Allah. Hal ini kerana, bila diperhatikan banyak kes dari segi syarak, ada pejuang yang yang akhirnya terbatal perjuangan Islamnya maka sia-sialah apa yang dilakukan oleh mereka sebelum ini.

Apatah lagi sekarang sudah menular wabak pemikiran sesat seperti Islam Liberal dan Pluralisme Agama, jadi unit ini relevan untuk mengekang aliran ini daripada tumbuh dalam parti Islam sekaligus memastikan kepimpinan tidak tergelincir dalam kerosakan pemikiran dan akidah ini.

Malah inilah antara isu yang sedang diberikan perhatian walaupun aliran sesat seperti ini tidak wujud dalam PAS tetapi penting untuk kita waspada dan berikan perhatian khusus sebelum menular dalam kalangan masyarakat dan PAS.

Selain itu,apa lagi tugas Unit Audit Syariah terhadap masyarakat secara umum?

Unit ini akan membuat beberapa garis panduan lain yang menyentuh kepentingan umum seperti isu perbankan yang hangat diperkatakan oleh masyarakat ketika ini. Unit ini akan menyiapkan sistem kewangan yang boleh disertai dan tidak boleh. Kita lebih menumpukan kepada isu syarak, bukan disiplin parti kerana itu tugas disiplin parti.

Tiada ulasan: