HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Disember 2013

Pemerkasaan bumi: Saya akan pantau CEO GLC - PM


 
 
Demi memperkasakan Agenda Pemerkasaan Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan sentiasa memantau KPI ketua pegawai eksekutif (CEO) semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjayakannya.

Beliau mahu agenda tersebut menjadi agenda nasional dan dijayakan dengan bersungguh-sungguh.

"Saya telah bermesyuarat dan berjumpa serta berbincang dengan ketua GLC, bahawa agenda permerkasaan bumiputera menjadi agenda nasional.

"Setiap CEO dan pengurusan GLC perlu melaksanakan agenda ini sebaik mungkin untuk memperlihatkan kesungguhan kita. Jadi ini KPI kepada CEO.

"Saya akan pantau (perkara) ini. Akhir tahun, saya nak tengok kad laporan, skor kad. Kalau baik, baiklah, boleh sambung agaknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno petang ini.

Pengiktirafan 3 tokoh Islam

Dalam ucapannya juga, Najib berkata demi meninggikan syiar Islam dan mempertahan syariat Islam, Umno mendapat pengiktirafan daripada tiga tokoh Islam dalam pertemuan tertutup mereka.

Mereka adalah wakil Fatah bernama Dr Abdullah, wakil Hamas Khalid Mesh'aal dan Imam Masjidil Haram Sheikh Abdullah Ali.

Beliau berkata Dr Abdullah yang memuji Umno sehingga Malaysia menjadi inspirasi kepada negara lslam lain.

Manakala, Khalid pula, kata Najib menyatakan perjuangan Umno untuk berada di landasan yang betul dan Malaysia menjadi contoh ikutan yang baik.

Sementara, Sheikh Abdullah menyatakan Malaysia membuat penegasan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah dinyatakan dengan jelas dan terang.

Sehubungan itu, Najib berkata beliau bersetuju untuk meminda fasal 3.3 perlembagaan parti untuk menyatakan "Islam sebagai agama persekutuan" dan memasukkan "Ahli Sunnah Wal Jamaah" dalam perlembagaan parti.

Perdana menteri juga berkata pihaknya akan menghantar mesej takziah kepada parti ANC ekoran kematian Nelson Mandela.

Tiada ulasan: