HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Disember 2013

PKR dakwa Zahid Hamidi cuba gagalkan rekonsiliasi Najib

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA
























PKR mendakwa kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuduh Mohamad Sabu (gambar) mengamalkan fahaman Syiah sebagai satu percubaan menggagalkan usaha Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan dialog nasional dan rekonsiliasi dengan Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Ahmad Zahid itu tidak adil kerana menjatuhkan hukuman walaupun Timbalan Presiden PAS itu tidak pernah menjalani perbicaraan terlebih dahulu.

“Tatkala Perdana Menteri dan Presiden Umno cuba menghulurkan tangan terbuka kepada Pakatan Rakyat untuk mengadakan dialog nasional untuk rekonsiliasi, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno pula bagai menghulurkan penumbuk kepada PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Kenyataan Ahmad Zahid amat tidak produktif, berbahaya, dan bagai cuba menggagalkan rekonsiliasi yang diusahakan Najib. Ahmad Zahid perlu menarik balik kenyataan beliau ini,” katanya.

Ahmad Zahid hari ini memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Mohamad kerana didakwa mengamalkan fahaman Syiah.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.

“Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Dalam reaksi awalnya, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai dakwaan Ahmad Zahid itu.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu,” katanya apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Najib sebelum ini mengulangi komitmennya untuk mencapai rekonsiliasi nasional selepas keputusan Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu memimpin negara bagi semua rakyat Malaysia.

“Pilihan raya umum ke-13 terlalu sengit dan walaupun Barisan Nasional kembali berkuasa dengan mandat, keputusannya menunjukkan polarisasi dalam negara,” katanya.

“Saya akui itu. Tetapi saya mahu ketepikan persengketaan untuk mencapai rekonsiliasi nasional. Saya mahu memimpin kerajaan yang mewakili seluruh rakyat Malaysia,” kata Najib dalam satu forum pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, mereka menyambut baik kenyataan Najib untuk mengadakan dialog.

"Oleh itu, sekali lagi kami mengulangi kesediaan serta mengambil sikap terbuka untuk mengadakan perbincangan ke arah kepentingan bangsa dan politik baharu," katanya.

Tiada ulasan: