HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Disember 2013

Preskripsi Najib untuk MCA: ‘Viagra politik’ untuk kuat semula

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Najib ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 MCA di Jalan Ampang, hari ini. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Disember, 2013. 
 Najib ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 MCA di Jalan Ampang, hari ini. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.



 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru MCA mengambil "viagra politik" bagi mengembalikan semangat anggota parti berkenaan yang kian merosot sokongan di kalangan masyarakat Cina.

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, presiden Umno itu berkata MCA masih mempunyai ahli diperingkat akar umbi, namun semangat mereka lemah.

"Kita perlukan viagra politik. Lemah semangat. MCA ada ahli di akar umbi, tetapi tiada semangat.
"Nanti kita minta Menteri Kesihatan buat," katanya berseloroh.

Najib turut memberikan beberapa langkah penambahbaikan kepada MCA dalam usaha parti komponen itu meraih semula sokongan masyarakat Cina.

Beliau berharap kepimpinan MCA dapat bersatu di peringkat pusat dan bekerjasama serta mengetepikan kepentingan peribadi.

"Dalam sejarah MCA, wujud Team A, Team B dan Team C. Kalau setiap kali berbalah di peringkat atas, kesannya MCA akan berpecah dua atau tiga. Jadi setiap kali ada pertandingan, MCA sebagai sebuah parti akan menjadi lebih kecil.

"Ketepikan kepentingan peribadi. Parti dan negara yang lebih penting," katanya.

Empat strategi baru yang dicadang Najib kepada kepimpinan MCA adalah ahli MCA perlu bersatu, menstruktur semula strategi mereka, memperkukuhkan parti, dan juga memberi nafas baru kepada pengukuhan parti berkenaan.

"Anggaplah ini mungkin sebagai panggilan terakhir buat MCA. Mungkin ini isyarat masyarakat Malaysia kaum Cina. Kalau tak sedar akan terlambat. Ini bukan wake up call, ini last call.

"Matlamat kita bukan nak jadi presiden Umno, MCA, dan MIC. Kita nak jadi kerajaan BN yang kuat.
"Menjadi sebuah negara semakin hari semakin moden, kukuh perpaduannya dan dihormati kawan dan lawan, inilah hasrat kita," kata pengerusi BN itu lagi.

Najib turut mengingatkan kesemua perwakilan MCA agar bersiap sedia dengan putar belit fakta yang akan dilakukan pembangkang untuk Pilihan Raya Umum ke-14, seperti mana dilakukan mereka ketika pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

"Akan ada cerita lain mereka akan putar belit. Harap-harap rakyat tak terpedaya," katanya.

Najib mengingatkan perwakilan MCA agar mengukuhkan kepimpinan mereka kerana jatuh bangun parti itu turut memberikan kesan kepada kekuatan BN.

"MCA sebagai parti kedua terkanan dalam BN. Tentu sekali parti Umno dan rakan lain anggap bahawa kekuatan MCA itu sangat penting.

"Kekuatan MCA boleh membantu kepada kekuatan BN pada keseluruhannya. Sebab itulah apa yang berlaku dalam MCA kami mempunyai kepentingan juga. Bukan kepentingan nak mencampuri urusan dalaman MCA sebab ketentuan kepimpinan MCA perlu dipilih ahli sendiri.

"Kepentingan kita adalah dalam konteks bahawa kekuatan MCA setara kepada kekuatan BN. Justeru kelemahan MCA juga membawa kepada kesan negatif kepada BN."

Tiada ulasan: