KLANG: Ahli Parlimen DAP Klang, Charles
Santiago menegaskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan
mengakibatkan kos kesihatan melambung tinggi.
Katanya, menerusi pendedahan Wikileaks, jelas terbukti TPPA merupakan perjanjian tidak adil kerana akan mengambil alih segenap aspek kehidupan rakyat seperti akses ubat-ubatan dan rawatan, tatacara diagnostik, pembedahan dan rawatan terapeutik, pendidikan dan penyelidikan termasuk hak peribadi.
“Saya ingin bertanya apakah kita percaya pada dokumen Wikileaks atau rundingan rahsia kerajaan. Apakah kita boleh mengharapkan ketelusan kerajaan dalam rundingan itu?, sudah tentu tidak.
“Melalui pendedahan terbabit, negara terbabit akan mengimport Organisasi Pengurusan Kesihatan ke Malaysia, ia tentunya akan menaikkan harga. Pada 2012, harga ubat Malaysia adalah 148.28 peratus lebih tinggi daripada Australia dan ini berlaku sebelum menandatangani TPPA.
“Malaysia membelanjakan hampir RM6 bilion tahun lalu untuk perubatan dan apabila TPPA ditandatangani harga akan terus meningkat, ini belum mengambil kira GST yang akan dikenakan nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti Parlimen DAP Klang, hari ini.
Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor menyatakan, melalui TPPA, penjagaan kesihatan akan menjadi mangsa pertaruhan dan bebannya akan dipikul rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan memikirkan semula usaha untuk meneruskan agenda perjanjian perkongsian terbabit.
“Kerajaan sepatutnya mengawal harga agar ia memihak kepada kesejahteraan rakyat dan bukannya membiarkan koperasi ke Malaysia untuk menaikkan harga dengan label ‘data eksklusif’ walaupun prosedur pembedahan akan dipatenkan, kos tetap akan meningkat.
“Malaysia perlu membuat keputusan sama ada meneruskan TPPA atau menjamin keperluan kesihatan sedia ada. Perjanjian perdagangan harus menurunkan harga barang bukannya meningkatkan.
“Jika semua ini berlaku, tiada esok lagi untuk rakyat. Apakah kesihatan merupakan komoditi yang boleh diniagakan? Akses kepada perubatan adalah hak asasi setiap manusia kini akan berada dalam pegangan TPPA,” tegasnya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan