THE MALAYSIAN INSIDER
Ahli
Parlimen DAP mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membatalkan
penubuhan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (CIRC) bagi memantau
aktiviti atas talian pengguna media sosial sedangkan pihak berkuasa
berkenaan seharusnya menjadikan aktiviti mencegah jenayah sebagai fokus
utama memandangkan ia masih menjadi isu nasional di negara ini.
Dalam satu kenyataan bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir
Johari (gambar) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, mereka
berkata tidak ada keperluan bagi PDRM menubuhkan CIRC pada masa ini
terutama apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mempunyai
unit yang berfungsi menyiasat jenayah siber.
"Kami merujuk melalui laporan Utusan Malaysia bertarikh 21 Mac 2014, di
mana PDRM akan menubuhkan satu unit khas bagi memantau aktiviti atas
talian kepada pengguna media sosial," kedua ahli Parlimen itu dalam satu
kenyataan bersama hari ini.
"Mengapakah PDRM menumpukan perhatian terhadap media sosial seperti
Facebook dan Twitter sedangkan masalah jenayah masih berleluasa?"
Ahli Parlimen pembangkang itu juga mempersoalkan sama ada penubuhan
CIRC oleh kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
"Berdasarkan keputusan PRU13 yang lalu, Barisan Nasional (BN) mengalami
kekalahan teruk di kalangan segmen masyarakat yang mempunyai capaian
media sosial yang baik, seperti di kawasan bandar dan orang muda.
"Media sosial di Malaysia menjadi alat yang memudahcarakan penyampaian
maklumat tanpa penapisan dan kawalan oleh kerajaan, tidak seperti media
arus perdana yang berfungsi sebagai lidah propaganda BN semata-mata.
"Maka, adakah tindakan memantau media sosial ini bertujuan untuk
menakut-nakutkan penyokong Pakatan Rakyat serta memperluaskan kawalan
kerajaan terhadap penyebaran maklumat?" soal kedua ahli Parlimen
tersebut.
Menurut Zairil dan Sim, selain isu jenayah, penubuhan unit CIRC juga dilihat menyekat kebebasan bersuara di negara ini.
"Kita tahu bahawa kerajaan sudah memegang semua media arus perdana di
negara ini dan mengikut Indeks Kebebasan Media oleh Wartawan Tanpa
Sempadan, ranking Malaysia jatuh kepada kedudukan 145 dunia di belakang
Bangladesh (144) dan Cambodia (143)."
Baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan
akan menyekat Internet sekiranya masih menjadi pemimpin utama negara
ini.
Dr Mahathir mengakui menyesal apabila pernah berjanji tidak akan
menapis Internet semasa memegang tampuk kuasa suatu ketika dahulu.
"Kalau saya jadi perdana menteri semula, perkara pertama saya lakukan ialah menapis Internet."
Kenyataan Dr Mahathir dipercayai berkemungkinan susulan tekanan
dihadapi BN beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya menerusi
pelbagai platform media alternatif di Internet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan