MALAYSIAKINI
Umno Selangor akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian penjualan tanah di Kuala
Langat antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat
Tropicana Corporation Berhad.
Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata laporan itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.
"Seperti dilaporkan (media), perjanjian itu dibuat selepas Dewan
Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan sebelum menjelang pilihan raya umum
yang lepas, saya nak tanya menteri besar boleh ke urusan jual tanah
berlaku ketika negeri ditadbir kerajaan sementara? Apa sebab hal itu
dibuat selepas DUN terbubar?.
"Saya juga nak tahu mengapa kerajaan negeri menjual tanah itu kepada
Tropicana di bawah harga pasaran, iaitu RM17 (bagi satu) kaki persegi,
sedangkan Tropicana menjual tanah yang sama kepada sebuah lagi syarikat
swasta dengan nilai RM35 (bagi satu) kaki persegi dalam tempoh kurang
setahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup
Majlis Sukan Sekolah Selangor semalam.
Beliau berkata laporan SPRM bertujuan meminta suruhanjaya itu menyiasat
jika wujud unsur penyelewengan dan rasuah berhubung penjualan tanah
berkenaan.
Pada April tahun lepas, kerajaan negeri menerusi PNSB menjual 474.3
hektar (1,172 ekar) tanah paya kepada Tropicana dan syarikat itu
kemudian menjual satu perempat daripada jumlah tanah terbabit kepada Eco
World Development Group Berhad pada nilai lebih tinggi.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan