HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 April 2014

MAS bayar 96% tuntutan waris penumpang warga China di Hotel Lido

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Ada sebanyak 10 tuntutan diluluskan oleh pihak Malaysia Airlines dan masih dalam proses memindahkan wang ke akaun anggota keluarga warga China di Beijing. – Gambar fail Reuters, 24 April, 2014.Ada sebanyak 10 tuntutan diluluskan oleh pihak Malaysia Airlines dan masih dalam proses memindahkan wang ke akaun anggota keluarga warga China di Beijing. – Gambar fail Reuters


Malaysia Airlines (MAS) melunaskan 96% tuntutan yang dikemukakan oleh waris penumpang warga China pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas, kata Naib Presiden Kanannya Jaffar Derus Ahmad.

Beliau berkata dari 8 Mac hingga 21 April lepas, pihaknya menerima 124 tuntutan bayaran balik daripada 400 anggota keluarga penumpang warga China yang tinggal di Hotel Lido, Beijing.

Beliau berkata daripada jumlah tuntutan itu, sebanyak 86% atau 106 tuntutan dibayar sepenuhnya kepada saudara mara penumpang.

"Ada sebanyak 10 tuntutan diluluskan oleh ibu pejabat dan kami sedang dalam proses memindahkan wang ke akaun anggota keluarga," katanya kepada sesi taklimat harian kepada saudara mara penumpang MH370 di Beijing, Rabu.

Bagaimanapun, katanya, terdapat tiga tuntutan diluluskan oleh ibu pejabat MAS tetapi ditolak oleh waris penumpang.

Jaffar bagaimanapun enggan menjelaskan butiran tuntutan yang dikemukakan oleh waris penumpang warga China itu apabila ditanya oleh wartawan Malaysia selepas sesi taklimat itu.

Semasa taklimat itu, salah seorang waris, Jiang Hui berkata mereka tidak akan berjumpa dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin semasa lawatannya ke Beijing kecuali beliau boleh menjawab soalan teknikal berhubung MH370.

Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Hamzah, yang juga pengerusi jawatankuasa waris, sudah berada di Beijing untuk memberi taklimat kepada keluarga mangsa.

Difahamkan Hamzah berada di sini untuk menemui pihak berkuasa China bagi membincangkan isu-isu berkaitan kehilangan pesawat itu.

Pada sesi taklimat hari ini, waris penumpang mendesak wakil MAS supaya memberitahu nombor siri kotak hitam penerbangan MH370.

Mereka sukar menerima penjelasan walaupun Jaffar berulang kali menyatakan dokumen berkaitan MH370 "dikunci" oleh pihak berkuasa siasatan sejak hari pertama kehilangan pesawat itu.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kini tertumpu di bahagian selatan Lautan Hindi. – Bernama

Tiada ulasan: