MH370


LUMUT - Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lepas membuktikan keperluan dalam meningkatkan aset dan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
   
Ia termasuk memiliki peralatan canggih dan terkini seperti kapal selam Bluefin-21 yang sedang digunakan oleh pasukan tentera laut Australia untuk mengesan, mencari dan menyelamat pesawat itu di Lautan Hindi.
   
Panglima Armada TLDM, Datuk Abd Hadi A. Rashid berkata kemampuan peralatan seperti Bluefin yang mampu menyelam sedalam 4,500 meter amat diperlukan dalam SAR, pada masa akan datang.
  
"Buat masa ini TLDM tidak kurang hebat dari aspek pemilikan pelbagai peralatan moden sedia ada.

"Bagaimanapun TLDM berusaha mengoptimumkan segala aset ketenteraan yang dimilikinya, " katanya kepada pemberita pada program Hari Media Bersama Kementerian Pertahanan dan TLDM di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.

Abd Hadi berkata, masih banyak ruang perlu dilaksanakan bagi memperkasakan pelbagai cabaran termasuk misi SAR yang membabitkan Armada TLDM pada masa depan.
  
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa liputan media dan publisiti luas kepada TLDM telah berjaya menarik minat golongan belia menyertai pasukan itu.
  
"Yang pasti media tempatan berjaya meningkatkan imej dan reputasi TLDM dalam menyalurkan maklumat dan kepercayaan terhadap peranan TLDM," katanya.
 
Mengenai sambutan Hari Ulangtahun TLDM yang ke-80, beliau berkata orang ramai dijemput hadir ke Hari Terbuka Armada dan Karnival 1MINDEF yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Pangkalan TLDM Lumut.
  
Mereka berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk melihat aset-aset kapal perang yang dimiliki TLDM, pameran kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan pelbagai demonstrasi menyelamat oleh Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL).
  
Pada program Hari Media itu, sebanyak 32 pengamal media cetak dan elektronik dibawa merasai pengalaman menginap di kapal KD Hang Tuah. - Bernama