anwar
 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman seperti yang didakwa menteri itu dalam satu sidang media bersama bekas Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton di Washington, enam tahun lalu.

Anwar sebaliknya berkata, Anifah ada membuat panggilan telefon kepadanya dan menunjukkan hasrat menyertai pakatan pembangkang jika mempunyai pengaruh cukup untuk menyertainya.

Penasihat PKR itu berkata demikian ketika perbicaraan kes samannya berjumlah RM100 juta terhadap Anifah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Dalam keterangannya Anwar berkata, ramai menteri Kabinet ketika itu tidak berpuas hati dengan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak menawarkannya jawatan menteri, sebaliknya hanya menawarkan jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau menjelaskan, tiada sebarang pertemuan dengan Anifah sebaliknya menteri itu menghubunginya ketika di Hong Kong memaklumkan telah mendengar ramai ahli BN di Sabah mahu menyertai pakatan pembangkang.

“Saya tidak menawarkan beliau jawatan itu (Timbalan Perdana Menteri). Mana mungkin urusan seperti ini ditawarkan melalui panggilan telefon,” katanya ketika ditanya peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli.

Anwar berkata, ramai ahli Parlimen BN tidak berpuas hati dengan Abdullah, yang kemudiannya mencetuskan rancangan 16 September, di mana mereka mahu menyelamatkan kedudukan masing-masing.

Sementara itu, ketika disoal balas peguam Tan Seri Muhamad Shafee Abdullah berhubung panggilan telefon tersebut, Anwar berkata beliau ada berbual dengan Anifah bagaimanapun menafikan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya jika Pakatan merampas Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, perbualan itu hanya berkisar keluarga dan anak-anak kerana mereka berdua adalah kawan baik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid akan disambung esok.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2009, Anwar mendakwa Anifah mengaitkan namanya dalam tawaran Kabinet semasa sidang media di AS bersama Clinton.

Kes ditetapkan untuk perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Januari lalu memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Anwar menghidupkan semula saman sivil beliau terhadap Anifah atas kapasiti peribadi menteri itu. 

Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan memfitnahnya dalam sidang akhbar.