Oleh RAYUSA
SELAIN
isu pertukaran Menteri Besar Selangor, penganjuran Pesta Sukan Bogel
2014 di Pulau Pinang turut menjadi seperti ‘bola tanggung’ untuk Umno-BN
membelasah Pakatan Rakyat.
Beberapa blog Umno menjadikan sebuah video
mengenai kegiatan berbogel bertajuk Pesta Sukan Bogel 2014 di Teluk
Bahang sebagai modal untuk menuduh kerajaan DAP-Pakatan Pulau Pinang
terlibat dengan aktiviti keji.
Salah sebuah blog tersebut turut menuduh Ketua Menteri, Lim Guan Eng
menggalakkan kegiatan tersebut apabila mengaitkan hubungan rapat beliau
dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri
Aziz.
Tuduhan tersebut timbul selepas merujuk pada kemunculan Nazri di
Pulau Pinang untuk mempromosi Festival George Town, dan dirakamkan
bersama Guan Eng dalam suasana mesra.
Video yang tersebar secara meluas di laman sosial sejak 5 Ogos lalu
itu menunjukkan pelbagai kegiatan oleh para peserta seperti melukis pada
badan, menari, dan bersukan sambil berbogel di pantai Teluk Kampi yang
terletak dalam kawasan Taman Negara tersebut.
Berdurasi lima minit 52 saat, video tersebut diakhiri dengan acara
unggun api pada sebelah malam serta tertera tulisan ‘See U in 2015’.
Ertinya pada tahun depan acara tersebut akan dianjurkan lagi.
Bagaimanapun, usaha memburuk-burukkan itu tidak berhasil kerana
pertama, Adun Teluk Bahang, Shah Headan Ayoob Hussain, berkata beliau
tidak akan sewenang-wenangnya menuduh DAP bertanggungjawab di sebalik
kegiatan komuniti bogel itu.
Kata Shah, acara itu jangan dipolitikkan kerana tiada manamana parti
politik yang boleh menerimanya. Tambah beliau, latar belakang tempat
kegiatan itu memang mirip Taman Negara di Teluk Bahang. Namun, beliau
bimbang video berkenaan mungkin diolah semula.
Jelas Shah, beliau telah meminta pihak berkuasa Taman Negara
menyiasat perkara tersebut dan meneliti rekod pendaftaran mereka untuk
memastikan jika terdapat mana-mana kumpulan menganjurkan acara bogel
berkenaan.
Shah mengesyaki acara tersebut berlangsung kira-kira tiga bulan lalu.
Jadi, proses untuk memeriksa rekod itu mungkin mengambil masa kerana
lokasi berkenaan menerima 50,000 pengunjung.
Beliau turut menggesa individu yang bertanggungjawab merakam video tersebut tampil membuat penjelasan.
Katanya, acara tersebut tidak mungkin dijalankan secara rahsia atau
di lokasi eksklusif kerana kawasan Taman Negara itu boleh dikunjungi
orang awam.
Sebab kedua, kerajaan Pulau Pinang tidak mengetahui penganjuran pesta
sukan itu. Tegas Guan Eng, kerajaan negeri tidak pernah memberi
kebenaran atau mengeluarkan lesen penganjuran pesta sukan tersebut dan
menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan
memberikan kelulusan. Majlis Perbandaran Pulau Pinang juga, katanya,
tidak akan berbuat sedemikian.
Tambah Guan Eng, jika kerajaan negeri boleh mengharamkan pembinaan
kasino di Pulau Pinang, tentu sahaja ia tidak akan memberikan kebenaran
untuk kegiatan jelik sedemikian.
Amat malang kerana menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Abdul
Rahim Hanafi, tujuh rakyat Malaysia adalah antara 15 individu yang
dirakam terlibat dalam pesta sukan songsang itu. Katanya, polis telah
merakamkan kira-kira 10 kenyataan daripada individu berkenaan untuk
membantu siasatan perkara tersebut.
Jelas Rahim, selain tujuh rakyat Malaysia, lapan lagi individu yang
terlibat ialah empat dari Singapura, dua warga Myanmar, serta seorang
dari India, dan Filipina.
Dengan penjelasan Guan Eng itu, siapakah yang memberi lesen atau
permit? Selama ini Kerajaan Persekutuan selalu masuk campur dalam
pentadbiran kerajaan negeri. Persoalannya, bagaimana pesta sukan bogel
yang memalukan negara dan tamadun Malaysia itu boleh terlepas?
Apakah ada unsur sabotaj?
Mungkin ada yang bertanya mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang boleh terlepas pandang.
Jawapannya mudah, iaitu jika boleh, semua perkara ingin diketahui dan dalam perhatian.
Namun, tidak semua yang mahu diketahui dapat diketahui.
Tambahan pula aktiviti yang menyalahi undang-undang dan norma hidup
selalu tersembunyi sama ada kerana memang sedemikian atau
‘disembunyikan’ oleh sesiapa. Justeru, siapakah yang ‘menyembunyikan’
kegiatan seperti Pesta Sukan Bogel 2104 itu?
Jadi, tidak perlulah Umno Pulau Pinang menerusi Pengerusi Badan
Perhubungannya, Dato’ Zainal Abidin Osman mempersoal penganjur pesta
sukan bogel itu berani menjalankan kegiatan kerana negeri berkenaan
diterajui DAP. Mentang-mentanglah berlaku di negeri yang ditadbir oleh
Pakatan!
Zainal turut mendakwa Guan Eng tidak bertanggungjawab dalam kes
tersebut. Beliau mendakwa Ketua Menteri itu ‘lepas tangan’ dalam kes
berkenaan dan kerana menyerahkannya untuk disiasat oleh Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Zainal bertanya adakah penganjuran acara itu boleh berlaku di Pulau
Pinang kerana individu yang menyertainya berasa bebas dan berani
lantaran berada di bawah pemerintahan kerajaan yang diterajui DAP.
Beliau juga menganggap Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya berbangga
dengan jumlah pelancong meningkat, tetapi segera melepaskan
tanggungjawab kepada pihak lain apabila terdapat pelancong yang
melakukan kejelikan.
Guan Eng dalam kenyataannya pada 6 Ogos lalu menyebut maklumat bahawa
seorang renjer Taman Negara berada di lokasi ketika kegiatan bogel itu
berlaku.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa taman itu bertindak memandangkan
kawasan tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber
Asli dan Alam Sekitar.
Zainal seterusnya menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
serta agensi pelancongan memastikan para pelancong memahami serta
menghormati budaya dan agama warga tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan