MALAYSIAKINI
Seorang bayi lelaki dijumpai dalam satu beg kertas yang ditinggalkan di
depan pintu utama sebuah projek pembinaan di Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias berkata bayi berkulit
cerah itu ditemui pekerja tapak pembinaan berkenaan pada kira-kira 11.30
pagi, disyaki baru ditinggalkan berikutan keadaannya yang masih elok.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.45
pagi dan tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan sengaja diletak di
depan pintu utama kerana ia tidak beroperasi serta dikunci setiap Ahad.
"Ketika dijumpai, bayi berada dalam keadaan sempurna, elok dan dibalut
dengan sehelai tuala merah... usia bayi itu kita sedang periksa, dan
kita hantar bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk
pemeriksaan lanjut.
"Dalam pada itu, polis sedang menyiasat dan mencari siapa ibu dan bapa
kandung bayi tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam satu
khidmat pesanan ringkas (SMS).
Azisman juga berkata orang ramai yang melihat kejadian itu diminta
tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun
Keseksaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan