HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Ogos 2014

Umno tentu mahukan pilihan raya negeri




DETIK DAILY


KUALA LUMPUR: Krisis Menteri Besar Selangor akan digunakan sepenuhnya Umno-BN bagi merampas kembali negeri itu daripada tangan Pakatan Rakyat dengan mempengaruhi pihak Istana untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor bagi membolehkan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sekiranya Sultan Selangor bersetuju dengan pembubaran Dun Selangor, Umno-BN juga akan sedaya upaya menarik sokongan rakyat supaya Selangor dapat ditawan kembali.

Ini kerana katanya, sejak krisis Menteri Besar Selangor, media mesra Umno-BN tidak menyebelahi Pakatan Rakyat bagi menjelaskan pelbagai isu yang timbul dan sudah tentu parti tersebut akan ‘memanfaat’ sepenuhnya kelebihan yang dimiliki mereka untuk mempengaruhi rakyat dalam pilihan raya itu nanti.

“Banyak spekulasi media yang tidak dapat kita sangkal. Oleh kerana rakyat tidak mendapat maklumat yang sebenar dan Pakatan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjelaskan kepada rakyat, isu yang berpanjangan ini sedikit sebanyak akan menimbulkan rasa muak kepada rakyat,” katanya kepada Harakah yang berharap tidak akan berlaku pilihan raya di Selangor.

Dr Mariah berkata, tidak timbul isu rakyat Selangor tidak berpuas hati dengan prestasi Adun tetapi isu politik dalaman mungkin menyebabkan sebahagian mereka tidak gemar dengan situasi tersebut.

“Kita bimbang sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri, kerana tidak sukakan serta muak dengan kemelut politik yang berlaku ini, akan wujud dua kelompok rakyat.

“Satu kumpulan ini tidak akan memberi undi kepada Pakatan Rakyat dan kumpulan yang kedua tidak akan keluar mengundi,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mariah, rakyat tidak seharusnya termakan dengan kerancakan Umno untuk merebut kuasa di Selangor, sebaliknya menilai dengan positif kepimpinan Pakatan Rakyat selama menguasai Selangor.

Tiada ulasan: