Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci mengapa pengambilan pelajar perubatan di universiti-universiti awam dikurangkan, kata Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim.
Katanya pengurangan pengambilan pelajar perubatan bermula dari tahun 2011/2012 secara tidak langsung mengehadkan peluang golongan kurang berkemampuan untuk belajar dalam jurusan itu.
“Mengapa kerajaan keberatan untuk menjelaskan butiran bahawa kriteria pemilihan pelajar itu betul-betul adil.
“Mengapa tidak ada notis awal bahawa adanya pengurangan secara drastik tawaran tempat dalam jurusan perubatan?, soal Teresa dalam satu kenyataan.
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan sebelum ini menyatakan kerajaan menawarkan tempat hanya kepada 418 pelajar yang layak untuk mengikuti jurusan perubatan (Ijazah Pertama) ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.
Justeru Teresa mempesoalkan sama ada tindakan mengurangkan secara drastik pengambilan 418 pelajar daripada 1,163 permohonan merupakan langkah yang adil.
“Apakah lebih adil jika universiti awam mengambil pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan yang mendapat keputusan cemerlang untuk belajar dalam bidang pilihannya (perubatan)?, soal Teresa.
Dalam soalannya di Dewan Rakyat 17 Mac lalu berhubung rancangan kerajaan menangani isu lebihan bekalan doktor, jawapan Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam menyatakan beberapa langkah diambil termasuk penghentian sementara program perubatan.
“Tetapi dia langsung tidak menyebut soal pengurangan pengambilan pelajar perubatan di universiti awam,” kata Teresa.
Menurutnya, pada tahun 2011-2012 pengambilan pelajar untuk jurusan perubatan adalah 983 orang, manakala 875 orang (2012-2013) dan 699 orang (2013-2014).
Tambahya, antara sebab utama Malaysia mengalami lebihan bekalan doktor disebabkan lambakan sekolah perubatan. Sehingga Oktober 2013 , terdapat 33 sekolah perubatan dengan majoritinya adalah institusi swasta.
Namun tegas Teresa, kerajaan perlu sedar bahawa kegagalannya membina lebih banyak hospital adalah penyebab utama berlakunya lambakan doktor. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan