HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2014

9 ditemui lemas, 4 masih dicari

FREE MALAYSIA TODAY

Tiga mangsa yang belum ditemui dilaporkan hilang di Kuala Krai, seorang lagi di Pasir Mas


KB02_120813_BOM


KOTA BHARU: Seramai sembilan orang ditemukan mati lemas manakala empat lagi masih hilang sejak banjir melanda negeri ini dua minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, tiga mangsa yang belum ditemukan dilaporkan hilang di Kuala Krai termasuk seorang bayi berusia setahun lebih manakala di Pasir Mas, seorang lagi yang masih hilang ialah kanak-kanak berusia tiga tahun.

Katanya, sembilan mangsa yang sudah dijumpai dan disahkan mati lemas berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun dengan Kota Bharu melibatkan tiga mangsa, Pasir Mas (3), Tumpat (2) dan Kuala Krai (1)

Banjir tahun ini dikatakan yang paling teruk dalam sejarah oleh penduduk tempatan. Ramai penduduk di Kuala Krai terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air hingga setinggi tiang elektrik. Malah, ada antara mangsa terputus bekalan makanan dan perhubungan untuk beberapa hari lalu.

Kementerian Kesihatan berjaya membawa masuk generator, diesel, makanan, tong oksigen, linen dan bekalan ubat-ubatan ke Hospital Kuala Krai dan Hospital Pasir Mas, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, bekalan bantuan itu dihantar menggunakan laluan darat berikutan banjir yang semakin surut, lapor UTUSAN.

Katanya melalui akaun Facebooknya hari ini, semua keperluan asas dapat dihantar ke kedua-dua hospital berkenaan untuk kegunaan para pesakit.

“Saya difahamkan, bekalan linen dan tong oksigen juga masih mencukupi di hospital-hospital berkaitan, selain senarai pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis di negeri-negeri terlibat banjir sudah dikenal pasti,” katanya.

Terdahulu, Hospital Kuala Krai bertukar menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memberi perlindungan kepada mangsa banjir.

Pemangku Pengarah HKK, Dr. Nik Mohd. Faizal Zainal Abidin dilaporkan berkata, keputusan tersebut dibuat demi membantu mangsa-mangsa banjir yang tidak mempunyai arah tujuan selepas kediaman mereka ditenggelami air.

Menurut beliau, walaupun keadaan tersebut sedikit sebanyak mengganggu operasi, tetapi atas nama kemanusiaan dan sikap prihatin, pihak pengurusan bukan sahaja bersetuju menyediakan tempat berlindung, malah staf hospital turut berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.

“Ini adalah kali pertama HKK menjadi pusat perlindungan yang sepatutnya bukan tanggungjawab kita. Tetapi, bagi kami pihak pengurusan, ia bukan alasan untuk menolak kehadiran mangsa-mangsa banjir ini.

“Memang ada sedikit terjejas operasi seperti katil-katil yang sepatutnya dikhususkan untuk pesakit, kami berikan kepada mangsa-mangsa banjir. Tetapi tidak mengapa, malah kami cuba memberi mereka apa yang ada di hospital seperti air panas, makanan, malah pakaian pesakit untuk jadi persalinan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: