Namun, bukan semua dapat menambat hati pendengar atau penonton dan bukan sikit yang terkecundang dalam karier mereka sebagai ahli muzik, penyanyi, penulis lagu, pelawak atau pelakon.
Daya persaingannya amat sengit, memandangkan semuanya mengejar penggemar dan peminat yang sama kerana industi hiburan di Malaysia begitu kecil dan sempit.
Walaupun mempunyai bakat yang luarbiasa, tiada apa yang membezakan seorang artist dengan yang lain – sama ada yang baru atau yang lama - kecuali sikap mereka sebagai seorang professional atau amatur.
Program-program ini dan seumpamanya memberi kesempatan bagi seseorang artist yang sedang membangun mempelajari aspek-aspek studio dan rakaman, pementasan dan penggubahan lagu.
Namun, ini tidak mencukupi dan mereka harus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mendapat ilmu dari aspek-aspek pemasaran, pengiklanan dan perihal perundangan kerana mereka terikat dengan kontrak dan isu-isu perdagangan dan guaman.
Pada hemat penulis, seorang artis itu bukan sekadar seorang selebriti yang berupaya menghibur orangramai.
Dia adalah seorang usahawan yang mesti jadikan kerajinan dan sikap memperbaiki diri secara berterusan di antara ciri-ciri utama untuk mengekalkan populariti di bidang pilihannya.
Ini bermakna, seseorang artis yang ingin lebih berjaya daripada seorang penggiat seni yang lain hendaklah bekerja keras untuk membina nama. Tidak cukup setakat menunggu perhatian atau reaksi umum.
SERABAI DAN TIDAK TERURUS
Lazimnya seoarang usahawan membawa “business card” bagi memperkenalkan diri, pertubuhan atau syarikat yang diwakili atau apa-apa gelaran atau jawatan yang disandang. Apa salahnya artis juga berbuat demikian?
Penulis ingin juga melihat semula contoh yang ditunjukkan oleh artis era-80an yang menonjolkan diri yang kemas dan berpakaian tertib, seolah-olah sudah bersedia untuk berurus niaga.
Sering didengar, bila artis dijemput hadiri perjumpaan penting, termasuk mesyuarat, sesi fotografi dan sidang media, mereka muncul dengan keadaan yang serabai dan tidak terurus.
Pada pandangan umum, mereka kelihatan “basi” dan tidak bermaya.
Perwatakan yang paling teruk di kalangan artis Malaysia ialah aksi yang seolah-olah baru belajar bertatih di dunia hiburan, walapun sudah lama berkecimpung di arena seni.
Material promo mereka, jika ada, tidak menarik. Ramai tidak punyai laman sesawang sendiri dan, jika ada pun, kelihatan seperti ia direkabentuk oleh pelajar sekolah rendah.
Acapkali, orang lain tidak mahu bekerjasama dengan artis seperti ini yang tiada apa-apa inisiatif sendiri dan tidak menunjukkan apa-apa hasil yang bernas.
Artis seperti ini bekerja secara “hentam kromo”, iaitu buat apa saja dan mengharapakn sesuatu yang dilakukan itu akan membuahkan hasil.
Jika gagal, mereka meletak kesalahan kepada pihak syarikat, pada pengurusan, pada stesen radio atau pihak penaja.
Jika disaman kerana tidak menepati akujanji di dalam kontrak, mereka lebih cenderung memohon ihsan media untuk memberi penjelasan daripada berdepan dengan mahkahmah.
Sering kali mereka beri alasan ditipu atau tiada dana yang mencukupi untuk menyokong kerjaya mereka.
Mungkin ada kebenarannya; iaitu kegagalan adalah berpunca, di antaranya, daripada kekurangan atau ketiadaan penaja.
Namun, kita kena bertanya balik samada artis ini telah menyimpan sebahagian pendapatan mereka untuk “hari kemarau” bila mana tawaran persembahan atau nyanyian yang diharapkan tidak sampai ke riba mereka.
Artis berjaya memahami mereka mesti sentiasa melabur dan dan menambahkan dana ke dalam karier mereka.
Mereka menetapkan sesuatu bajet dan tidak berganjak dari perbelanjaan yang terlebih dulu dirancangkan.
Ada dikalangan mereka akan berbincang dengan pelabur-pelabur yang berwang untuk menyokong usaha mereka dengan penajaan yang beterusan.
Mereka terus berusaha dan tidak membiarkan “tiada duit” menjadi alasan untuk tidak berjaya.
SIAPA PEMINAT SETIA?
Ramai artis, sebenarnya, tidak kenal siapa peminat mereka.Adakah peminat mereka paling ramai dari golongan remaja yang belum bekerja? Atau di kalangan pekerja muda? Apa tahap pendapatan peminat? Apa pekerjaan mereka dan apa kesukaan mereka selain muzik? Berapa peratusan peminat dari golongan professional, selain dari penghibur?
Di era siber dan teknnologi maklumat, para artis hendaklah ambil kesempatan untuk merapatkan diri dengan peminat melalui media social seperti laman sesaswang, blog, Facebook, Twitter dan YouTube.
Jika tidak bijak menggunakan kesempatan atau peluang sebegini, kegagalan pasti mengekori artist yang leka.
Maka, kejayaan yang diperolehi hanya sementara dan seperti masuk angin keluar asap; iaitu mereka dilupai dalam tempoh yang begitu cepat.
Peminat ingin tahu samada artis, band, pelawak atau pelakon itu masih aktif atau sudah bersara. Pepatah Inggeris menyatakan “Out of sight, out of mind”, yang membawa maksud “Tak dilhat, maka tak ingat."
Pendekata, selain bersikap usahawan, artis tanahair hendaklah mengikut jejak rakan-rakan seangkatan dari luar negara yang mempunyai senarai e-mail dan persuratan yang lengkap dan laman sesawang dan blog yang aktif dan sentiasa diperbaharui.
Komunikasi yang berterusan amat berguna dan penting dalam menjaga populariti seseorang artis.
Dengan membuat peminat sentiasa dimaklumkan mengenai dirinya, seseorang artist akan sentiasa berdamping rapat dan mengenali peminatnya.
Selain itu, artist berjaya mempunyai daya motivasi yang tinggi, mempunyai matlamat yang terancang, dan menjejaki langkah-langkah yang mantap dan tersusun sepanjang karier tanpa rasa jemu, letih atau bosan.
Mereka tahu, untuk dihormati oleh rakan-rakaniaga, peminat dan pengusaha-pengusaha industry muzik itu sendiri, mereka terlebih dulu mesti menghormati orang lain.
Artis yang berjaya tidak mudah mengaku kalah. Dia tekun mencari penyelesaian ke atas masalah dan cabaran yang di hadapi dan tidak memberi alasan ke atas kecundangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan