shahbudindotcom
Melalui
kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi, Najib membuat keputusan
segera pulang ke tanahair dan memendekkan percutiannya adalah untuk
meninjau sendiri keadaan banjir, terutamanya di Kelantan.
Selain
menemui mangsa yang terjejas teruk akibat banjir, Najib juga akan
menemui pihak yang bertanggungjawab berkaitan banjir untuk merangka
tindakan-tindakan terbaru seperti Majlis Keselamatan Negara,
Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana, kerajaan negeri serta
pihak-pihak lain yang difikirkan perlu.
Perdana Menteri dilaporkan ingin menyelia sendiri tindakan kecemasan yang diakibatkan oleh banjir selepas ini.
Keputusan
Najib segera pulang ini tidak lain ialah kerana mendengar
jeritan-jeritan pengkritik di pelbagai medium internet seperti portal,
blog dan media sosial yang mengkritik keras tindakannya bercuti sambil
bermain golf itu.
Pengkritik
juga bersuara di ruangan komen Facebook Najib yang turut memintanya
pulang segera kerana banjir makin buruk serta yang terburuk sejak
beberapa tahun. Mereka mengatakan tidak wajar seorang Perdana Menteri
berada di Hawaii sedangkan di dalam negerinya sendiri dilanda bencana.
Namun
demikian, di sebalik kritikan itu, terdengar juga suara-suara pengampu,
pembodek dan macai yang tetap mewajarkan percutian Najib, termasuk
bermain golf bersama Obama itu.
Bermacam-macam
hujah lekeh dilambung untuk membiarkan Najib terus leka dan khayal
dengan cutinya serta membelakangkan kepentingan rakyat yang sedang susah
dan sengsara.
Antara
hujah yang digunakan oleh pembodek dan pengampu ialah "biarlah Najib
bercuti, dia pun manusia biasa", "urusan bermain golf dengan Obama sudah
dirancang enam bulan lalu", "apa Najib boleh buat kalau balik pun,
bukannya hujan boleh berhenti dan air surut", "banyak perbincangan untuk
kepentingan negara telah dilakukan sambil bermain golf bersama Obama",
"takkan semua kerja Perdana Menteri nak buat" dan macam-macam lagi.
Pengampu
dan pembodek ini seolah-olah tidak mahu berpihak di bumi nyata bahawa
kehadiran secara nyata seorang Perdana Menteri yang mempunyai banyak
kuasa meluluskan bajet kecemasan dan mengarahkan pelbagai perkara,
adalah amat penting di kala musibah besar sedang melanda.
Lagi
pula, dengan kehadiran Perdana Menteri bersama-sama dengan mangsa
banjir, berbanding berada di Hawaii, lebih menunjukkan keprihatinannya
sebagai pemimpin utama negara.
Lainlah jika keadaan normal, tiada siapa pun yang mempertikaikan percutian Perdana Menteri.
Dengan
kesediaan Najib mendengar jeritan pengkritik yang ikhlas lagi jujur
yang mahukannya segera berada di dalam negara, blog ini ingin
mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mengambil
tindakan paling betul dalam hidupnya.
Kepada
pengkritik dan penegur yang tidak jemu-jemu bersuara juga diucapkan
setinggi-tinggi tahniah kerana keberanian bersuara itulah yang akhirnya
menyebabkan Najib segera kembali. Tanpa kritikan dan teguran, Najib
mungkin masih terus berada di Hawaii sehingga awal tahun 2015 nanti.
Dalam
hal ini, benarlah kata bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bahawa
teguran dan kritikanlah yang boleh membuatkan seseorang pemimpin itu
tahu sama ada tindakannya betul atau pun salah.
Syabas
dan tahniah juga kepada Najib kerana mengabai dan tidak mendengar
sama-sekali suara pengampu, pembodek dan macai, juga di media rasmi dan
internet, yang hanya menyokong secara membuta tuli dan mengiyakan saja
semua tindakan seorang Perdana Menteri.
Secara
tidak langsung, Najib juga kian menyedari bahawa suara pengampu dan
pembodek sekadar ingin mengkhayal dan melekakannya saja, bukan
membawanya ke arah yang lebih baik sebagai pemimpin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan