HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Pekerja MKN Mangsa Banjir Punca Bantuan Lewat

Oleh: THE STAR
 
 
Jalan hampir runtuh di Jalan Jelawang-Dabong disebabkan hujan lebat beberapa hari lepas dekat Kuala Krai. - fotoBERNAMA
 
 
 
PETALING JAYA: Operasi pengurusan bencana dibawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) tergendala apabila kakitangannya di peringkat daerah antara yang turut menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
MKN menyifatkan 'kelumpuhan' pasukan pengurusan bencana di daerah Pantai Timur sebagai punca operasi menyelamat dan bantuan lewat sejak beberapa minggu lalu.

Mendapatkan bantuan daripada individu dan syarikat untuk menderma makanan dan bekalan lain adalah langkah paling mudah.

Namun, perkara paling sukar adalah mencari dan menyelamatkan mangsa yang terjejas dan operasi di kawasan yang terjejas teruk diperluaskan berikutan semua sistem komunikasi terputus.

Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata,  pasukan pengurusan bencana akan beroperasi dengan berkomunikasi dari peringkat Persekutuan ke negeri dan dari negeri ke peringkat daerah.

Pada kali ini, bagaimanapun, pasukan tersebut di peringkat daerah turut ditimpa bencana banjir menyebabkan proses komunikasi lumpuh.

Beliau berkata, banjir besar yang melanda Kelantan dan Terengganu pada 1967 dan 2004, tidaklah begitu teruk jika dibandingkan dengan tahun ini.

Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

"Di daerah ini, barisan hadapan jentera pengurusan bencana termasuk ketua kampung dan pegawai daerah.

"Namun disebabkan banjir besar, kebanyakan daerah terjejas akibat bencana ini.

"Kesemua jentera kami di peringkat daerah lumpuh kerana mereka turut menjadi mangsa.

"Pada ketika ini, bekalan elektrik terpaksa dihentikan untuk memastikan tiada mangsa terkena renjatan elektrik

"Ini menyebabkan komunikasi menjadi lebih mencabar dengan telefon bimbit kehabisan bateri.

"Bagi kami untuk mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan dan untuk mengetahui keadaan banjir di setiap daerah menjadi masalah besar kepada kami.

"Lebih buruk lagi, laluan ke setiap daerah terputus hubungan ketika kemuncak bencana ini iaitu antara 23 hingga 27 Disember lalu.

"Kami terpaksa menggunakan kenderaan berat, arus deras menyukarkan usaha menyelamat menggunakan bot dan angin kencang menyukarkan bantuan menerusi udara," katanya pada Isnin.

Kini, keadaan kembali pulih dan bantuan menerusi darat dan udara sudah boleh diteruskan.

Beliau berkata, sebanyak 15 helikopter dikerahkan untuk operasi menyelamat di Kelantan.

Namun, tiada lokasi sesuai bagi helikopter untuk mendarat di kawasan yang masih terjejas teruk akibat banjir dan operasi menghulurkan bantuan dilakukan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Walaupun MKN menyelaraskan usaha mencari dan menyelamat, agensi sebenar yang melakukan usaha tersebut adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera, Polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Jabatan Meteorologi pada Isnin mengeluarkan amaran hujan peringkat merah di Dungun dan Kemaman  di Terengganu, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.

Menurut jabatan itu, hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat diramal berterusan sehingga Rabu.

Tiada ulasan: