HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

Tanah runtuh: Seorang lagi dikhuatiri maut

MALAYSIAKINI


 


Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh melibatkan sebuah rumah kongsi di ladang sayur berhampiran tangki air di Jalan Desa Corina, Kampung Raja di Cameron Highlands petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Zahari Wan Busu berkata mangsa dikenali sebagai Zainullah, 27, dipercayai terperangkap dalam runtuhan di luar rumah berkenaan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian pukul 5.30 petang.

"Ketika kejadian mangsa bersama-sama sembilan rakannya yang kesemuanya warga Indonesia sedang berehat. Apabila runtuhan itu terjadi, kesemua rakan mangsa dapat keluar dari rumah itu namun Zainullah dipercayai terperangkap," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata rumah kongsi di atas bukit yang berada dalam ladang sayur-sayuran itu terletak kira-kira 20 meter dari kaki bukit kawasan perumahan Taman Desa Corina.

Zainullah dan sembilan rakannya merupakan pekerja kontrak membina rumah plastik untuk tanaman sayur-sayuran di sekitar Cameron Highlands, katanya.

Beliau berkata setakat pukul 10 malam ini operasi mencari mangsa masih diteruskan oleh pasukan Bomba Cameron Highlands dengan dibantu jentera pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Ipoh serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan 25 anggota polis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Cameron Highlands, Yusry Abdullah Sani berkata, mangsa dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam kira-kira dua meter.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.02 petang dan setakat ini operasi menyelamatkan mangsa masih dijalankan.- Bernama

Tiada ulasan: