KOTA BHARU . - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan
bencana banjir buruk yang melanda Kelantan adalah malapetaka besar yang
membawa banyak kemusnahan.
Beliau yang hari ini meninjau kesan akibat banjir besar itu di Gua
Musang dan Kuala Krai, berkata kedua-dua jajahan berkenaan adalah
kawasan yang paling teruk terjejas pada banjir kali ini.
"Mereka (penduduk) menganggap bencana itu bukan sebagai satu fenomena
banjir tetapi ia adalah bencana atau malapetaka besar kerana keadaan air
naik begitu tinggi dan mendadak sehingga banyak rumah tenggelam,"
katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
Pengkalan Chepa di sini selepas meninjau keadaan di jajahan itu.
Turut mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan itu ialah Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang
juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Kelantan.
Najib berkata, selain melihat sendiri rumah yang musnah sama sekali dan
yang rosak teruk, beliau dimaklumkan penduduk bahawa beratus rumah
musnah dan mereka hilang tempat kediaman.
"Saya lihat begitu banyak kerosakan dan ia amat menyedihkan dan menyayat
hati," katanya sambil menambah kerajaan akan mengambil beberapa
tindakan untuk membantu mangsa banjir di jajahan Gua Musang dan Kuala
Krai.
Perdana Menteri berkata, sekarang ini kerajaan dalam usaha yang
berterusan membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan
dan juga membantu mereka pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan
banjir pulih.
Beliau berkata, kerajaan akan membuat taksiran secepat mungkin setiap rumah yang musnah dan rosak akibat banjir.
"Tindakan yang perlu diambil ialah membina rumah sementara supaya dapat
didiami oleh mangsa-mangsa banjir yang ketiadaan rumah," katanya.
Najib berkata, kerajaan akan membina kediaman kekal untuk mangsa banjir
di Kuala Krai di kawasan yang lebih selamat daripada ancaman banjir.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan