KEMENTERIAN Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama
untuk membaik pulih jalan raya dan jambatan yang rosak akibat banjir
untuk mempercepatkan proses penghantaran bantuan makanan kepada mangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata cadangan itu
dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang
menyatakan persetujuan dengan langkah berkenaan.
"Perkara menjadi kebimbangan saya pada masa ini adalah jalan terputus
yang menyebabkan sukar untuk kita hendak menghantar bekalan makanan.
Kita terpaksa menggunakan helikopter yang penggunaannya bergantung
kepada cuaca.
"Saya akan buat tinjauan untuk mengesan jalan raya terjejas bagi mengambil tindakan segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat OP
Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Kuantan di Kuantan, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd
Rahim Mohd Radzi dan Panglima Empat Briged Mekanize, Brig Jen Datuk
Ahmad Tajuddin Abd Ghani.
Sementera itu, Hishammuddin berkata pihaknya akan mewujudkan sebuah
lagi pusat pengumpulan barangan bantuan di Ipoh bagi memudahkan bantuan
sampai dengan lebih cepat kepada mangsa.
Pada masa ini katanya pusat pengumpulan barangan bantuan kepada mangsa hanya terdapat di Subang, Butterworth dan Batu Berendam.
Ditanya sama ada bilangan aset Kementerian Pertahanan mencukupi bagi
menghantar bantuan kepada mangsa banjir, beliau berkata pihaknya turut
meminta bantuan pesawat MasKargo dan AirAsia bagi melaksanakan misi
tersebut.
Selain itu, Hishamuddin turut menyambut baik saranan supaya anggota
sukarelawan di setiap agensi kerajaan digerakkan bagi membantu
membersihkan operasi pasca banjir.
"Pembersihan pasca banjir perlu dilakukan segera kerana bimbang akan
menjejaskan kesihatan mangsa banjir dan bagi memastikan sekolah-sekolah
yang menjadi pusat pemindahan banjir dapat digunakan pada sesi
persekolahan akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan