HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Ribut: Warga emas lari selepas bumbung diterbangkan angin

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
BALIK PULAU: Seorang mangsa ribut yang berlaku di sini pasa malam Isnin menceritakan bagaimanapun angin ribut menerbangkan bumbung rumahnya dengan sekelip mata.
 
"Angin angkat kesemuanya sekejap sahaja. Bunyinya berdesing-desing. Mak cik enam beranak terus keluar dari rumah sehelai pinggang dan berteduh pula di rumah anak yang terletak bersebelahan," kata Masriyah Harun, 64.
 
Puluhan gerai makan dan kedai turut rosak sama ada runtuh atau bumbung diterbangkan angin yang turut menjejaskan kubah Masjid Jamek Sungai Rusa.
 
Peniaga gerai makan, Muhammad Akmal Osman, 25, berkata bumbung gerainya diterbang angin dan hampir menimpa anak saudaranya yang sedang mencuci pinggan.
 
"Mujur saya sempat tarik tangan dia keluar dari kedai. Masa itu kami sudah nak tutup kedai. Dari luar kedai, saya nampak sekeping demi keping atap zink kedai saya diterbangkan angin," katanya.
 
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad pula berkata beliau yang turut mendengar bunyi angin kuat 'seperti suara mengaum' melaungkan azan berkali-kali.
 
"Ada kes yang alang rumah bersama buaian bayi turut terbang dibawa angin.
 
Mujur ibu kepada bayi itu sempat mengeluarkan anaknya dari buaian," katanya.
 
Sebanyak 441 buah rumah dilapor terjejas dalam kejadian tersebut.
 
Antaranya 240 buah di Kampung Sungai Rusa, Permatang Pasir (120), Kuala Jalan Baru (17), Kuala Sungai Pinang (10), Sungai Pinang (20), Pantai Acheh (tujuh) dan Pulau Betong (27).
 
Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata pihaknya sedang mengumpul data tahap kerosakan bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera.
 
"Bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil, penghuninya diberi bantuan kilat. Kebanyakan rumah terjejas akibat bumbung diterbangkan angin," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan kejadian.
 
Beliau berkata dalam kejadian antara pukul 8 malam hingga tengah malam itu, sebanyak 86 keluarga ditempatkan sementara di Masjid Permatang Pasir, Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa dan Pusat Khidmat Adun Teluk Bahang.
 
Penduduk terlibat telah beransur pulang ke rumah masing-masing mulai pagi ini, katanya dan menambah ribut kali ini merupakan yang terburuk sejak 1967.
 
Pada masa yang sama Shah Headan Ayoob kesal kerana terdapat individu yang  menyebar maklumat palsu kononnya amaran tsunami telah dikeluarkan susulan kejadian itu.
 
"Ia disebar pantas menerusi aplikasi telefon bimbit sejak semalam. Perkara ini menimbulkan rasa panik kepada orang ramai terutama isteri-isteri nelayan yang suami mereka turun ke laut malam tadi," katanya.

Tiada ulasan: