HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Kerajaan buat post-mortem cari punca banjir

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
 
 
PETALING JAYA - Kerajaan akan membuat 'post-mortem' secara mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar banjir luar biasa khususnya di Pantai Timur setelah situasi banjir kembali pulih, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata kajian itu akan meliputi banyak faktor termasuk perubahan cuaca, penerokaan dan pencerobohan hutan, penarahan bukit selain kekurangan infrastruktur mengalihkan air ke laut.

"Nanti selepas banjir (surut), kita buat post-mortem secara  mendalam (kenal pasti) punca-punca keadaaan banjir berlaku,"  katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tentang penghantaran bantuan banjir ke Pantai Timur di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini  hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata operasi mengangkut hasil sumbangan bantuan banjir berjalan lancar meskipun terdapat kekangan dari segi aset dan sebagainya.

Katanya, selain tenaga pihak awam, swasta dan anggota tentera, tenaga syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (MASkargo) turut digembleng  bagi memastikan semua barangan sampai kepada mangsa banjir mengikut keperluan.

"Saya juga cukup terharu dengan sokongan rakyat sebab mengikut laporan diterima, banyak barangan dihantar kepada mangsa banjir datang daripada pelbagai pihak di seluruh negara," katanya.

Muhyiddin berkata pihaknya dimaklumkan sehingga kini sebanyak 200 metrik tan bantuan banjir termasuk bekalan barangan makanan dan minuman dihantar bagi mangsa banjir dari Pangkalan TUDM, Subang di sini yang diaktifkan sebagai Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata buat masa ini keutamaan diberikan bagi penghantaran bantuan makanan dan perubatan yang diperlukan hospital di kawasan terlibat banjir dan menurutnya bantuan pakaian yang disumbangkan pelbagai pihak hanya akan dihantar setelah keadaan banjir kembali pulih.

Terdahulu, Muhyiddin melawat Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir di TUDM dan menerima sumbangan bantuan banjir dalam bentuk replika cek berjumlah RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad Datuk Teh Kean Ming. - Bernama

Tiada ulasan: