IPOH: Seluruh agensi kerajaan perlu bersifat proaktif dalam menghadapi kejadian bencana banjir di dalam negara.
Pengarah Pusat Pengurusan Kecemasan Bencana (PEDM) PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad berkata, kerajaan perlu mengerahkan seluruh tenaga agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Marin, dan Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM).
Menurutnya, kesemua agensi tersebut mempunyai bidang kepakaran masing-masing terutama dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa-mangsa banjir khususnya di kawasan terjejas terus dengan dinaiki air di tahap yang merbahaya.
Katanya, kerahan tersebut seharusnya telah dilakukan sebaik sahaja mendapat isyarat serta tanda-tanda akan berlaku kejadian bencana agar dapat melakukan operasi menyelamat seawal mungkin.
"Kerajaan seharusnya kerah seluruh tenaga yang mempunyai bidang kepakaran menyelamat khususnya di kawasan yang kuat aliran airnya.
"Kerahan perlulah bermula daripada awal, tidak sepatutnya khidmat mereka ini digunakan apabila banjir sudah ditahap yang merbahaya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menjelaskan, kerjasama semua agensi sangat diharapkan agar operasi membantu mangsa banjir dapat dilakukan dengan sebaik mungkin agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini termasuklah kemalangan jiwa.
Beliau menjelaskan, PAS tidak mahu berlaku aduan bekalan makanan di pusat pemindahan tidak mencukupi kerana aspek tersebut adalah paling penting untuk diberi keutamaan.
"Setiap mangsa di pusat pemindahan perlu diberikan bantuan khususnya aspek makanan secukupnya, itu adalah tugas kerajaan untuk memastikan semua mangsa berada di dalam keadaan terbela.
"Kalau ini terjadi (bekalan makanan tidak mencukupi) maka ada yang tidak kena dan ia adalah satu kezaliman kepada mangsa banjir," ujarnya lagi.
Idris menyatakan, kerajaan perlu melayani mangsa banjir iaitu sebagai orang yang ditimpa musibah dengan sebaik mungkin tanpa memilih bulu dan menjauhi sikap “pilih bulu”.
Beliau mengharapkan kejadian petugas PAS dihalang untuk menyampaikan bantuan di beberapa buah tempat tidak berlaku di negeri Perak.
Petugas sukarelawan PAS katanya dihalau setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bajet sebanyak RM500 juta kepada mangsa banjir.
"Saya harap insiden petugas PAS dihalau di pusat pemindahan tidak berlaku di negeri ini (Perak).
"Beri ruang kepada siapa sahaja untuk membuat kebajikan kepada mangsa-mangsa kerana mereka juga ingin membantu, ini bukan masa untuk berpolitik tetapi ini adalah masa untuk membantu serta menyelamat," tegasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Idris melahirkan rasa gembira dengan komitmen yang telah diberikan oleh seluruh ahli PAS yang membantu dariapda pelbagai aspek tanpa putus-putus.
Menurutnya, walaupun PAS tidak memegang tampuk pemerintahan dengan kelengkapan yang terhad tetapi kerja buat yang dilakukan oleh jentera sangat memberi memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.
Ujarnya, keberadaan PAS di setiap bencana tidak dapat dinafikan apabila seluruh tenaga dikerah untuk membantu dengan diberikan tugas serta amanah masing-masing. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan