Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menangkis kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan bencana banjir buruk dengan kegiatan pembalakan tidak terkawal di Kelantan.
Ahmad berkata, jika dakwaan itu benar sekalipun, ia mungkin berpunca daripada kegiatan penerokaan haram.
“Kejadian pembalakan yang tidak terkawal jika berlaku mungkin disebabkan penerokaan haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, faktor lain termasuk fenomena limpahan air hujan yang berlebihan juga menyumbang kepada bencana tersebut, yang menyebabkan sehingga 275,000 hilang tempat tinggal.
Ketika ditanya, Najib tidak menolak jangkaan bahawa pembukaan tanah berleluasa di Kuala Krai dan Gua Musang menjadi penyumbang utama kepada bencana tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad membangkitkan beberapa piawai dan syarat pembalakan yang menurutnya sudah dipenuhi oleh kerajaan negeri Kelantan.
Patuhi syarat
“Apabila saya mendengar beberapa pihak termasuk semalam perdana menteri Malaysia ada menyifatkan bahawa banjir di Kelantan disebabkan pembalakan tidak terkawal ianya perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak kerajaan negeri.
“Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya telah mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yg diluluskan oleh Majlis Tanah Negara.
“Pembukaan kawasan untuk projek TLC (perladangan hutan getah) semuanya perlu lulus EIA (penilaian impak alam sekitar) sebelum projek dimulakan,” kata Ahmad lagi.
Faktor kemusnahan alam itu turut menjadi perhatian sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta masyarakat agar lebih menumpukan kepada soal penjagaan sumber alam.
Laporan Bernama pada Sabtu lalu menyebut, baginda bertitah bahawa masyarakat perlu kembali bersahabat dengan alam dan mengakui bahawa bencana yang timbul berpunca daripada tindakan manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan