S.Subramaniam (dua kiri) melawat HUSM Kubang Kerian, semalam. S.Subramaniam (dua kiri) melawat HUSM Kubang Kerian, semalam.
 
 
KOTA BHARU - Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II terpaksa menghentikan 80 peratus perkhidmatannya berikutan banjir di negeri ini sejak enam hari lalu yang menyebabkan keseluruhan kawasan tenggelam.

Lebih 200 pesakit di hospital berkenaan dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menteri Kesihatan, Datuk S.Subramaniam berkata, berikutan pemindahan tersebut, jumlah pesakit di HUSM bertambah kepada lebih 900 orang berbanding kapasiti biasa seramai 760 pesakit.

Beliau berkata, penambahan tersebut turut melibatkan 292 anggota kesihatan termasuk 192 kakitangan kementerian kesihatan kini memberi perkhidmatan.

“HUSM masih memerlukan sekurang-kurangnya 100 pegawai kesihatan dan 300 jururawat atau paramedik bagi menampung pertambahan itu.

“Kementerian akan memastikan keperluan tersebut dapat dipenuhi dengan mengumpulkan pegawai pegawai perubatan dari hospital lain di seluruh negara,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, perkhidmatan dialisis juga dipindahkan dengan lebih 150 rawatan dijalankan sehari sementara 10 pesakit telah diterbangkan ke Lembah Klang untuk menerima rawatan semalam.

S.Subramaniam berkata, lebih daripada 50 peratus kakitangan kesihatan terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan wujud pelbagai cabaran dan masalah.

Katanya, kementerian akan melihat secara serius keperluan pembinaan bangunan baru di HRPZ II berikutan sudah dua kali hospital tersebut dinaiki air.

“Kami minta pihak Jabatan Kerja Raya dapat menilai perkara itu secepat mungkin bagi tujuan tersebut,” katanya.