MALAYSIAKINI
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menyiasat secara telus
dan menyeluruh berhubung dua insiden membabitkan anggotanya ketika
menyelamat mangsa banjir di Kemaman dan Dungun baru-baru ini.
Pengarah JBPM Terengganu, Md Salleh Sarbini berkata siasatan akan
merangkumi segala aspek berkaitan kejadian pasangan suami isteri mati
lemas di Kampung Geliga Che Akob, Kemaman.
Beliau berkata pihaknya akan turut menyisat kejadian kenderaan yang
dinaiki empat anggota bomba terjatuh ke dalam gaung akibat kejadian
tanah runtuh semasa banjir di Al-Muktafi Billah Shah, (AMBS) Dungun.
"Langkah itu diambil bagi memastikan sama ada anggota terbabit
benar-benar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah
ditetapkan atau sebaliknya.
"Kita akan terus menjalankan siasatan ke atas dua kejadian ini terutama
tragedi bot penyelamat (bomba) yang terbalik di Kemaman. Setelah selesai
siasatan, tindakan selanjutnya akan diputuskan untuk penambahbaikan,"
katanya.
Beliau menegaskan demikian sewaktu melawat seorang anggota dari Balai
Bomba dan Penyelamat AMBS, Maharazir Mat Saud di Hospital Sultanah Nur
Zahirah di Kuala Terengganu.
Md Salleh diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa operasi
menyelamat yang dilakukan dalam kejadian bot bomba terbalik ketika
memindahkan mangsa banjir di Kampung Geliga Che Akob, Kemaman pada 24
Disember lalu yang mengorbankan sepasang suami isteri dikatakan tidak
mengikut SOP ditetapkan.
Mangsa ialah Nurhayati Sulong, 37, seorang guru di Sekolah Kebangsaan
Geliga dan suaminya, Suhaimi Awang, 37, yang dikatakan bekerja dengan
sebuah syarikat di Pengkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Manakala satu lagi kejadian pada hari yang sama membabitkan empat
anggota dari balai AMBS termasuk Maharazir, 36, yang nyaris maut setelah
kenderaan mereka terjatuh ke dalam gaung semasa cuba mengelak jalan
runtuh ketika dalam perjalanan untuk memindahkan mangsa banjir di
Kampung Shukor.
Md Salleh seterusnya berkata pihaknya akan sentiasa memastikan kesemua
anggota bomba yang sedang bertugas membantu mangsa banjir di negeri ini
tidak mengabaikan aspek keselamatan selain mengikut SOP yang ditetapkan.
"Semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi banjir perlu
sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas menyelamat, sekali gus
mengelak insiden tidak diingini," ujarnya.
Tambah beliau buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menambah
jumlah anggota bagi menghadapi bencana itu memandangkan keanggotaan
sedia ada iaitu seramai 700 orang dan aset sudah mencukupi.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan