HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

Noh Omar, bersaralah!!!

Oleh: Shahbudin Husin


Selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengkritik kepimpinan Umno Selangor yang disifatkannya masih tidak berubah sehingga beliau berasa letih dan malu dengan keadaan itu, kini giliran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula berbuat demikian.

Dalam tulisan terbaru di blog Chedet, bekas PM selama 22 tahun itu mahukan Umno Selangor segera melakukan perubahan dengan melakukan pembubaran dan penyusunan semula struktur kepimpinannya.

noh-omarKatanya, pemimpin Umno negeri itu perlu menerima hakikat, mereka harus berundur selepas menerima kekalahan dalam PRU12 serta PRU13 dan sedia menerima lebih ramai kemasukan ahli baru, terutamanya Generasi Y.

Tambah Mahathir lagi, pemimpin Umno biasanya tidak suka menerima kemasukan ahli baru yang berbakat kerana takut dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon dalam pilihanraya.
Tindakan mereka itu, bukanlah untuk memperkuatkan parti tetapi hanya mahu mengukuhkan kedudukan sendiri, jelasnya lagi.

Kritikan Mahathir terhadap kepimpinan Umno Selangor ini menjadikannya sudah dikritik sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Sebelum ini, Najib secara terbuka meluahkan kekecewaannya kepada Umno Selangor yang diketuai Datuk Seri Noh Omar kerana mendapati tiada perubahan dalam usaha mahu menawan semula negeri itu.

Menurut Najib lagi, setiap kali Umno digelar pembangkang di Selangor, beliau merasa letih dan malu dengannya.

Selain mengekalkan kuasa di peringkat Pusat, usaha menawan semula Selangor adalah cabaran paling besar bagi Umno dan Barisa Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

UMNO BN 55Ini kerana, walaupun menang di peringkat Persekutuan, kegagalan menguasai negeri yang paling kaya itu hampir tidak memberi makna kepada Umno dan BN.

Pakatan Rakyat pula, sebaik berjaya menguasai Selangor, mereka bukan saja mahu mengekalkannya, bahkan menjadikannya sebagai loncatan untuk menawan Putrajaya pula.

Meskipun Langkah Kajang berjaya disekat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dihalang daripada menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi dengan Azmin Ali yang menduduki kerusi ketua kerajaan negeri itu, peluang dan harapan BN tetap tidak berbeza getirnya.

Bukan saja kerana Azmin dianggap pemimpin yang menepati citarara anak-anak muda, penyusunan barisan Exconya yang menampilkan ramai pemimpin muda menampakkan tidak sukar baginya meneruskan kemenangan PR pada PRU14 nanti.

Ditambah lagi dengan pelbagai pendekatan terjah dan mahu meluangkan lebih banyak masa turun ke lapangan bersama rakyat, ratingnya kini cukup positif.

Berbeza dengan Umno Selangor, majoriti pemimpinnya bukan saja bergelut dengan pelbagai masalah yang bukan rahsia lagi di kalangan rakyat, bahkan juga seperti kaku dan beku dalam mendepani pelbagai isu yang melibatkan rakyat di negeri itu.

Noh Omar yang mengetuai Umno Selangor sekarang, bukan saja tidak disukai rakyat biasa, bahkan ramai ahli Umno sendiri tidak tersentuh hati dengan kepimpinan dan perwatakannya.

Dalam banyak Bahagian di Selangor, ramai ahlinya tidak segan-segan mengatakan tidak akan mengundi BN dalam pilihanraya umum akan datang selagi Noh Omar menjadi ketuanya.

Apatah lagi untuk berhadapan dengan Azmin dan barisan Exconya yang dikira agresif dan dinamik, Noh Omar serta kepimpinan Umno Selangor sekarang semakin tidak relevan untuk diberikan tugas menyalakan obor kemenangan itu. Tanya siapa saja, harapan untuk terus kalah jauh lebih terbuka berbanding mencapai kemenangan.

Setelah Najib dan Mahathir mengkritik dan memberi teguran, Noh Omar sebenarnya tiada pilihan lain selain mengakui hakikat yang sebenarnya. Beliau harus secara sukarela menawarkan diri untuk berundur dan menyerahkan kepada kepimpinan yang lebih layak lagi muda mengambil alih tugasnya.

Sebagai pemimpin yang pernah menjadi menteri di peringkat dan kemudian digugurkan, secara langsung labelnya kini adalah pemimpin yang sudah berlalu dan bukannya pemimpin harapan masa depan.

Berundur, bersara dan memberi ruang kepada perubahan dalam kepimpinan Umno Selangor adalah langkah terpujinya ketika ini.

Beberapa pemimpin lain yang sudah tua juga harus belajar-belajar mencermin diri dan sebaiknya turut sama mengundur diri secara sukarela bersama Noh Omar.

Kiranya Noh Omar dan lain-lain pemimpin tua ini tidak sedia berundur serta berkorban, bermakna lebih lama lagilah PR berkuasa di negeri itu.

Tiada ulasan: