HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

QZ8501: Sampel DNA waris diambil

MALAYSIAKINI


Unit Identiti Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur telah mengambil sampel DNA waris dan anggota keluarga untuk mengenal pasti identiti ketika proses pemindahan mayat pesawat malang AirAsia Indonesia QZ8501 memasuki hari kedua.
  
Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Besar Budiyono berkata maklumat membabitkan 15 orang daripada 93 keluarga itu telah dilengkapkan sejak hari pertama kejadian dan pihaknya menjangka ia akan bertambah pada hari Rabu.
  
"Mengikut SOPnya, maklumat yang diperlukan adalah gambar mangsa, rekod perubatan, sampel DNA dan ciri-ciri fizikal mangsa.
  
"Maklumat ini penting untuk memudahkan proses pengecaman mangsa dan urusan untuk menyerahkan (mayat) kepada keluarga secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, 40 kilometer dari Surabaya.
  
Beliau berkata pihaknya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima jenazah penumpang dan kru pesawat itu sebaik tiba di medan parkir lapangan terbang ini.

Laporan media menyebut enam mayat membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kru penerbangan, kini dalam proses untuk dibawa keluar oleh pasukan misi mencari dan menyelamat di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, kira-kira sejam penerbangan dari Surabaya.
  
Cuaca buruk termasuk ombak setinggi tiga meter menjejaskan operasi itu untuk mencari baki mayat penumpang pesawat yang dalam perjalanan ke Singapura itu.

Budiyono berkata, kesemua mangsa terkorban akan ditempatkan di Hospital Bhayangkara, Surabaya, kira-kira 30km dari lapangan terbang, untuk proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti.
  
Jelasnya, hospital itu juga sudah dipersiapkan dan mencukupi untuk menampung mangsa membabitkan sebanyak 150 ruang dilengkapi pendingin hawa jika jenazah tiba nanti.
  
"Kami juga telah mendapat kerjasama pelbagai pihak yang telah menawarkan diri seperti doktor (peribadi dan swasta), ahli forensik dan sukarelawan," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan yang pusat krisis di lapangan terbang itu akan dipindahkan ke Hospital Bhayangkara, namun semuanya bergantung kepada keadaan.
  
Tinjauan Bernama mendapati ada kira-kira 130 ambulans disediakan di lapangan terbang itu, yang akan membawa jenazah ke hospital kerana tiada hangar disediakan untuk menyimpan jenazah.
  
Bersebelahan pusat krisis itu pula, ada kakitangan perubatan sedang mengendalikan urusan mendapatkan cap jari, data dan biometrik waris dan anggota keluarga pesawat itu termasuk warga asing.
  
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi hari sama.
  
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
  
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.
  
Kru pesawat itu terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis. - Bernama

Tiada ulasan: