HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Usaha pulihkan bekalan elektrik, air

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di Kelantan beransur pulih dengan jumlah pencawang elektrik (PE) yang sudah dipulihkan meningkat kepada 547 setakat 4 petang, berbanding 464 pada sebelah pagi.
 
Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abdul Aziz Abdul Majid berkata 1,413 daripada 1,960 PE yang terpaksa dihentikan operasi ketika keadaan banjir memuncak di negeri itu, masih belum dipulihkan.
 
"Bekalan tenaga yang hilang juga menurun kepada 72.5 MW (megawatt) berbanding 146 MW ketika banjir memuncak di negeri itu.
 
"Setakat 4 petang ini, 21 set janakuasa bergerak dengan kapasiti kVA (kilo Volt Ampere) hingga 1,000 kVA juga telah dioperasi di Kelantan. TNB juga akan memasang beberapa lagi set janakuasa di lokasi yang memerlukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Di Pahang, Abdul Aziz berkata PE yang belum dipulihkan berjumlah 365. Sebanyak 533 PE terpaksa dihenti sementara sebelum ini.  
 
Bagi Perak dan Terengganu, pemulihan bekalan elektrik juga bertambah baik dengan pencawang yang masih belum dipulihkan masing-masing berjumlah 58 dan 29.
 
Setakat 4 petang tadi, kehilangan beban di Pahang ialah sebanyak 22 MW, sementara di Perak dan Terengganu pula masing-masing 4 MW dan 3 MW, kata Abdul Aziz.
 
Dalam pada itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berkata tujuh daripada 24 loji rawatan air (LRA) di Kelantan yang dihenti tugas akibat banjir sebelum ini, telah dibaik pulih dan mula beroperasi semula.
 
Kelantan mempunyai 32 LRA.
 
"Sebanyak 17 lagi LRA masih belum dapat beroperasi," kata suruhanjaya itu sambil menambah 130,000 akaun pengguna daripada 223,300 akaun di Kelantan masih belum mendapat bekalan air melalui paip.
 
Menurut Span, Air Kelantan Sdn Bhd iaitu operator air di Kelantan sedang berusaha membaik pulih baki LRA terbabit dengan kerjasama TNB.
 
Di Pahang, terdapat 80 LRA di negeri itu yang mana 21 LRA telah dihentikan operasi akibat banjir, manakala lapan daripada 21 LRA itu telah beroperasi semula.
 
Span berkata 34,400 akaun pengguna daripada keseluruhan 378,800 akaun di negeri itu kini mengalami gangguan bekalan air.
 
Bagi Perak, tiga LRA yang terjejas akibat banjir telah dibaik pulih dan kini beroperasi semula.
 
"Semua kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air telah mendapat semula bekalan air," kata kenyataan itu.
 
Selain Kelantan, Pahang dan Perak, tiada LRA dihentikan operasi akibat banjir di negeri lain.

Tiada ulasan: