HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Manek Urai Lama jadi padang jarak padang tekukur

ASLANI M



 


KUALA KRAI: Gambar kesan banjir di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai membuat banyak orang yang melihatnya luluh hati dan meruntun jiwa. Ia menjadi viral di media baru.

Hanya sekitar 30 peratus rumah masih mampu bertahan akibat rempuhan deras arus Sungai Lebir yang membawa limpahan air bah dari hulu Kelantan.

Kini kampung tersebut menjadi padang jarak padang tekukur. Tiada lagi tempat mereka menumpang teduh daripada panas dan hujan.

Mangsa tsunami air bukit terpaksa menghitung semula kehidupan mereka. Kampung lama yang didiami sejak berpuluh tahun lampau kini terpaksa ditingalkan bagi memulakan hidup baru.

Kampung itu yang diwujudkan pada era penjajah merupakan penempatan berpagar menempatkan penduduk bagi mengelakkan gangguan komunis.

Penempatan itu dikenali sebagai zon putih dikawal tentera Inggeris bagi mengelakkan dicerobohi tentera bintang tiga.

Manek Urai mulai dikenali ramai selepas wujud dua kilang papan iaitu dikenali sebagai kilang Jepun dan kilang Sawmil Jaya pada 1970-an.

Ketika itu ramai penduduk dari kawasan lain pindah ke Manek Urai untuk bekerja di kilang papan.

Pada masa itu laluan ke Bandar Kuala Krai hanya menggunakan perkhidmatan kereta api dan bot yang menghilir Sungai Lebir.

Sekarang kilang papan tersebut tersebut sudah menjadi penempatan bagi penduduk. Kayu balak sudah lama tiada.

Biar pun rancak dengan kegiatan industri perkayuan namun saban tahun banjir tidak lupa menjengok tiba.

Pada akhir 1980-an sebuah jambatan dibina merentangi Sungai Lebir. Ia menjadi laluan utama penduduk ke tempat lain.

Hari ini semuanya itu hilang sekelip mata. Badai air bukit seumpama tsunami yang menerjah bumi Acheh pada 2004 menghimpit penduduk di Manek Urai.

Penduduk terpaksa lari menyelamatkan diri pada malam 22 Disember lalu ketika air bah naik mendadak.

Bangunan Sekolah Kebangsaan Manek Urai, Pusat Kesihatan Kampung Manek Urai Baru, Masjid Manek Urai Baru dan Bukit Kajang menjadi tempat penduduk menyelamatkan diri.

“Air bah menenggelamkan semuanya termasuk stesen kereta api, Balai Polis, sekolah, masjid, kedai dan pasar.

“Paling menghibakan sekali rumah kami bukan sahaja tenggelam tetapi hanyut dibawa arus deras Sungai Lebir,” kata seorang penduduk.

Manek Urai Lama kini kembali menjadi tumpuan seperti era 1970-an, tetapi mereka datang untuk melihat kesan-kesan tsunami Sungai Lebir.

Sementara itu di Kota Bharu hampir kesemua ruang bandar diseliputi lumpur tebal. Lumpur dan selut setebal hingga empat inci ada di mana-mana.

Penduduk, peniaga dan kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Jabatan Kerja Raya bekerja keras bagi membersihkan lumpur tersebut.

Air banjir juga boleh dilihat di parkir bawah bangunan Arked Buluh Kubu, bangunan TNB, Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru.

Kesan paras banjir di kawasan Pasar Besar Siti Khatijah kira-kira setinggi lima kaki.  

Cuaca di Kelantan hari ini lebih cerah berbanding semalam. Petang dan malam tadi hujan agak lebat di seluruh Kelantan. Jumlah mangsa banjir sehingga hari ini seramai 85,742 orang. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: