HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

Politik negara dijangka panas pada 2015

 
Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi, pemimpin hendaklah lebih matang menghadapi keadaan politik semasa.


Salleh Keruak_300


PETALING JAYA: Negara mungkin akan berdepan dengan pelbagai cabaran pada tahun hadapan terutamanya dalam bidang politik mahupun ekonomi, apatah lagi bila Malaysia menjadi anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menjadi perhatian antarabangsa.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, perkara yang akan paling menarik perhatian rakyat adalah perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan(GST) terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

“Kita sudah lama maklum mengenai pelaksanaan GST mulai 1 April 2015, maka sewajarnya kita membuat persediaan awal menghadapinya. masih belum terlambat merangka pelan tindakan,” katanya menerusi entri terbarunya.

Sementara itu, beliau berkata, suasana politik negara juga dijangka panas apabila isu 1MDB, hukum Hudud, kes liwat ketua pembangkang, masalah dalaman Pakatan Rakyat, politik baru UMNO dan pendebatan liberal dan extreme Melayu, kesemua isu tersebut akan terus mewarnai keadaan politik Malaysia.

Malah, cabaran termasuk dari aspek keselamatan dan kesudahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan isu kebanjiran pendatang asing di Sabah juga akan terus dimainkan oleh ahli-ahli politik.

“Dalam konteks politik hari ini, saya sering tegaskan bahawa suasananya sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

“Kita kena terima hakikat ini. Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi. Maka, pemimpin kena lebih matang dalam menghadapi keadaan politik seperti ini,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Salleh berkata, suasana politik di semenanjung sangat berlainan dengan Sabah di mana perpaduan di negeri itu masih lagi kuat malah menjadi contoh gagasan 1Malaysia yang sebenar.

“Perpaduan kita tetap utuh biarpun dalam kepelbagaian kaum etnik dan kepercayaan. Tidak wujud pergeseran antara kaum dan agama,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, bagi memastikan keadaan politik negara berada dalam keadaan baik, Sabah perlu menjadi contoh dalam menangkis fahaman ekstrim agama dan kaum.

“Kita lakukan ini demi untuk pertahankan keharmonian antara kita,” jelas beliau.

Tiada ulasan: