HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

KKM hantar kakitangan bantu hospital di Kelantan

SINAR HARIAN


Banjir
 
 
KUALA LUMPUR - Sebanyak 101 orang kakitangan Kementerian Kesihatan telah digerakkan ke Kelantan untuk membantu meneruskan pengoperasian beberapa hospital di negeri itu yang berdepan kesulitan ekoran bencana banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kakitangan tersebut terdiri daripada pakar perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.

Katanya, selain itu, kementerian juga telah membekalkan generator, diesel, makanan, oksigen, linen dan ubat-ubatan kepada Hospital Kuala Krai dan Hospital Pasir Mas, Sabtu lalu.

"Kementerian juga akan terus membantu kakitangan di lapangan dalam menjalankan aktiviti kesihatan melalui penghantaran anggota gantian dan bantuan dari negeri-negeri yang tidak terlibat banjir sebaik diperlukan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut merayu kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita-berita palsu atau tidak disahkan mengenai keadaan banjir melalui sebarang media kerana ia akan mengundang panik dalam kalangan masyarakat.

Keadaan banjir di Kelantan bertambah buruk hari ini dengan angka terbaharu mencecah sebanyak 151,072 orang daripada 36,128 keluarga telah dipindahkan di 309 pusat pemindahan di negeri itu. - Bernama

Tiada ulasan: