HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Perpecahan bangsa Melayu bukan lagi rahsia - Kok Seong

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Meskipun kaum Melayu mendominasi pembentukan negara bangsa Malaysia, namun masalah perpecahan di kalangan kaum itu sukar disembunyikan lagi, demikian menurut Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.
 
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berpendapat, masalah itu timbul berikutan sokongan Melayu kini dipecahkan kepada parti-parti politik berteraskan Melayu, iaitu Umno, PAS dan PKR.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kaum Melayu pada masa kini terpaksa mengemis kepada bukan Melayu untuk mengekalkan kuasa politik mereka.
 
"Saya kira kebimbangan utama Tun M adalah mengenai perpecahan di kalangan Melayu sebab hal ini akan menyebabkan cubaan mendapatkan sokongan bukan Melayu, contohnya kaum Cina untuk terus berkuasa khususnya bagi Umno.
 
"Mungkin pada beliau perkara ini tidak boleh berterusan dan perlu dilakukan sesuatu. Sebab itu beliau menggunakan perkataan yang keras iaitu mengemis. Maksudnya keadaan sekarang agak terdesak kerana nampak Umno cuba sedaya-upaya untuk meraih sokongan kaum Cina," katanya melalui wawancara khas bersama Antarapos, hari ini.
 
Mahathir terdahulu memberi amaran bahawa kaum melayu akan kekal ketinggalan jika kuasa politik untuk mereka memerintah semakin lemah.
 
Malah kekuatan kaum Melayu sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan populasi negara ini bagaimanapun tidak berjaya memberi kelebihan kepada kaum berkenaan.
 
Lebih setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlalu, Teo merasakan Umno dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya masih gagal menarik minat kaum Cina walaupun pelbagai usaha dijalankan, yang adakalanya mengundang rasa tidak selesa di kalangan kaum Melayu itu sendiri.
 
"Ya, ada nampak seperti Umno lemah kerana kepimpinan Umno begitu 'teliti' dalam menjaga hati kaum Cina, contohya banyak sagu hati yang diberikan hingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.
 
"Dari satu segi Umno juga ada kekuatan. Contohnya kedudukan dalam bilangan kerusi yang diperolehi mereka semasa PRU-13 ada peningkatan. Namun keadaan kini agak mendesak apabila kita melihat kepimpinan negara cukup berhati-hati dalam menjaga kaum Cina dan sebagainya," ujarnya lagi.
 
Sehubungan itu, Umno dan BN mesti melakukan pelbagai inisiatif dan pembaharuan demi mengekalkan kelangsungan politik mereka.
 
Tambah Teo, gesaan seperti ini perlu dihayati secara mendalam dan tidak hanya menjadi 'dendangan ulangan' setiap kali Umno dan BN dipalitkan dengan persepsi yang tidak baik.

Tiada ulasan: