Banjir
 
 
KOTA BHARU - Seorang suri rumah sanggup meredah air banjir setiap hari untuk pulang ke rumah dari pusat pemindahan untuk memasak di kediamannya yang dinaiki air paras pinggang di Kampung Penambang di sini.
  
Zainun Zakaria, 42, berkata dia perlu balik ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Penambang untuk memasak kerana suaminya Ahmad Suhaimi, 48, tidak berpindah kerana bimbangkan keselamatan rumah.
  
"Saya dan anak-anak tinggal di pusat pemindahan. Saya balik dalam pukul 11 pagi ... memang hari-hari kena redah air bah sebab di sekitar pusat pemindahan ini juga dinaiki air.
  
"Kadang-kadang pinjam bot orang kampung untuk balik rumah," kata ibu kepada tujuh anak berusia enam hingga 24 tahun itu.
  
Zainun berkata, lebihan makanan yang dimasak untuk suami kemudiannya dibawa ke pusat pemindahan untuk dikongsi bersama anak-anak dan mangsa banjir lain.
  
"Saya masak lauk biasa sahaja macam ikan goreng, ikan masin. Bekalan semakin berkurangan jadi kena berjimat cermat. Makanan lebih saya bawa ke pusat pemindahan dan makan dengan anak," katanya. 
  
Zainun berkata, bekalan elektrik dan air bersih yang terputus di pusat pemindahan berkenaan menyukarkan kerja memasak di lokasi itu.
  
"Bekalan air bersih terhad ... kami tunggu orang datang hantar tetapi kalau nak basuh pinggan dan cawan kami guna air banjir. Malam kena bergelap dan guna lilin ... sedih apabila berada dalam situasi begini tetapi kami reda," katanya.
  
Beliau berkata, banjir yang melanda tahun ini adalah yang terburuk sejak 2004.
  
"Kalau dulu orang yang berada di pusat pemindahan ini sikit dan kami rasa lebih selesa tetapi kali ini memang ramai yang menjadi mangsa banjir.
  
"Saya merupakan mangsa banjir pertama yang dibawa ke pusat pemindahan ini, air di sekitar rumah ketika itu paras dada," kata Zainun.  - Bernama