HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2014

Pejabat PM minta MPM jumpa '25 Melayu'

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan 25 orang tokoh Melayu ternama.

Bagaimanapun, Hasan (gambar bawah, kanan sekali) berkata, tarikh perjumpaan itu belum lagi diketahui memandangkan pihak 25 tokoh Melayu itu masih lagi belum menyatakan tarikh yang sesuai.

Katanya lagi, perancangan pihaknya untuk bertemu dengan 25 tokoh Melayu ternama itu dibuat selepas Pejabat Perdana Menteri yang meminta supaya NGO berkenaan mengadakan pertemuan.

Selain itu, ketika ditanya apakah perkara yang akan dibincangkan pada pertemuan itu, Hasan berkata ia tidak boleh didedahkan dan hanya akan memaklumkan selepas pertemuan tersebut.

"Kami tak akan bincangkan isu 25 (tokoh Melayu ternama) secara terbuka kerana pihak kami akan berjumpa dengan mereka.

"Saya tak boleh bincang (perkara ini) sehingga saya duduk berbincang dengan mereka.

"Pejabat Perdana Menteri yang minta MPM berjumpa dengan mereka. Kita wakilkan (mereka). Pejabat Perdana Menteri minta perkara ini minggu lepas," katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengapa pihak pejabat perdana menteri memilih MPM untuk mewakili mereka, Hasan hanya berkata:

"Saya tak boleh cakap sehingga selesai semuanya."

Sejumlah 25 tokoh Melayu ternama sebelum ini tampil menyeru ke arah kesederhanaan dan meminta agar perbincangan terbuka berkaitan undang-undang Islam diadakan.

Mereka turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kepimpinan terhadap suara-suara yang tidak bertoleransi dalam negara.

Bagaimanapun, Najib sehingga hari ini tidak memberi sebarang kenyataan balas kepada 25 tokoh Melayu itu.

Kumpulan itu juga tidak berminat untuk mengaturkan pertemuan dengan mana-mana pihak sebelum mendapat reaksi Najib.

Tiada ulasan: