HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Disember 2014

Solat hajat di masjid seluruh Selangor Jumaat ini

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor, melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi melahirkan rasa amat bersimpati serta prihatin dalam isu banjir yang berlaku di negeri Pantai Timur.

Atas dasar itu, Dr. Ahmad menyeru seluruh umat Islam di Selangor mengadakan solat hajat dan kutipan derma bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengajak kepada semua umat Islam di seluruh negara khususnya rakyat negeri Selangor mengadakan solat hajat dan munajat pada hari jumaat ini (02 Januari 2014) selepas solat Jumaat serta boleh ditunaikan pada bila-bila masa di antara solat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Selangor bagi memohon kepada Allah SWT agar musibah banjir ini dapat dipulihkan serta diberikan perlindungan dan keselamatan kepada mangsa-mangsa banjir. Seperti yang dinyatakan di media masa iaitu jumlah keseluruhan mangsa banjir di 6 negeri yang terlibat sehingga kini adalah seramai 225,731 orang  mangsa. Negeri-negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Selangor. Kami mengucapkan takziah serta semoga mereka sabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Atas rasa tanggungjawab dan simpati kami, satu mesyuarat khas bersama pihak JAIS telah diadakan, dan kami telah bersetuju membuat satu kutipan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir bagi kali ke-2 pada Jumaat ini (02 Januari 2015) di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor sebagai sokongan moral kami kepada mangsa-mangsa banjir. Kutipan pertama telah dibuat pada hari Jumaat lalu (26 Disember 2014). Hasil kutipan sumbangan tersebut akan segera diserahkan kepada negeri yang terlibat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.       

Selain itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir. Kerajaan Negeri Selangor telah mengiktiraf Yayasan Amal Malaysia (YAM) sebagai koordinator untuk menyelaras petugas-petugas sukarelawan ke negeri-negeri yang terlibat.

Dr. Ahmad turut menyeru kepada yang berminat untuk menjadi sukarelawan pasca banjir ini supaya menghubungi Ustaz Yusof bin Abdullah, Setiausaha Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor ditalian 014-729 3560.

Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada mangsa pesawat Air Asia QZ 8501 dan mendoakan agar usaha pencarian kesemua mangsa pesawat tersebut berjaya ditemui dan dipermudahkan oleh Allah SWT serta takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: