HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

Penduduk Setia Alam harap pembinaan masjid pertama

SELANGOR KINI


SHAH ALAM: Penduduk di bandar Setia Alam mengharapkan pembinaan masjid pertama di kawasan penempatan mereka kerana keperluannya kini mendesak.

Pengerusi Jawatankuasa Dana Pembinaan Masjid Setia Alam, Rushdan Rusmi berkata, sebanyak RM10 juta diperlukan untuk membina masjid di situ dan setakat ini RM3.3 juta telah berjaya dikumpul sejak 2010.

Setia AlamMenurutnya, RM6.7 juta lagi diperlukan untuk mendirikan sebuah masjid di atas tanah seluas 2.02 hektar bagi menampung jemaah lebih-lebih lagi ketika Solat Jumaat.

“Di Setia Alam ini kita ada sembilan surau dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memberi tauliah kepada dua surau untuk mengadakan solat Jumaat namun ia tidak boleh menampung jumlah penduduk yang kian hari semakin bertambah,” katanya dipetik Sinar Harian.

Melihat kepada keperluan itu katanya, beliau bersama penduduk di kawasan itu menubuhkan satu jawatankuasa yang diberi kepercayaan penduduk Islam di situ memulakan inisiatif pembinaan masjid.

“Mengikut perancangan awal, kerja-kerja pembinaan akan dijalankan secara berfasa dengan kos keseluruhan sebanyak RM20 juta termasuk pembinaan dewan, kuarters pengajar dan lain lain.

“Bagaimanapun, yang kita tumpukan adalah mencari dana RM10 juta untuk bangunan masjid dengan kapasiti memuatkan lebih kurang 5,000 jemaah dalam satu masa,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya mendirikan kawasan pencarian dana seluas 0.40 hektar di tapak itu bertujuan mengadakan program pengumpul sumbangan melalui pelbagai acara yang telah direncanakan.

“Meskipun belum ada lagi masjid di sini, jawatankuasa kita telah mengadakan banyak aktiviti seolah-olah telah ada masjid dengan susunan program agama, ilmiah dan sebagainya.

“Selepas ini, kita merancang membina 10 unit gerai kekal, pentas untuk adakan program, carboot sale dan lain-lain untuk menampung kutipan dana,” katanya.

Buat masa ini katanya, pengedaran risalah dan kaunter sumbangan disediakan di Kedai Buku Sinar yang terletak di tingkat 2, Tesco Setia Alam selain turut mendapat kerjasama dengan restoran Muslim sekitar kawasan ini.

Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh terus menderma melalui Ambank Islamic -2452022002697 (Jawatankuasa Pembinaan Masjid Setia Alam) atau hubungi Rushdan di talian 0122077410 atau 0172008486 (Ibrahim) atau 0129704797 (Syazwan).

Sumbangan berbentuk wakaf perlu dibuat kepada Perbadanan Wakaf Selangor melalui penama yang telah dilantik bagi mendapatkan pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan mengisi Borang B1.

Tiada ulasan: