HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Disember 2014

QZ8501: Tony Fernandes Mohon Maaf Kepada Waris Mangsa

Oleh: AKIL YUNUS
 
 
Tony Fernandes. Foto AP
 
 
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengeluarkan permohonan maaf kepada ahli keluarga mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pada Selasa selepas serpihan ditemui terapung di perairan kawasan operasi mencari, dikatakan milik pesawat itu.

"Jiwa saya diselubungi dengan kesedihan buat keluarga yang terlibat dalam QZ8501. Bagi pihak AirAsia, saya mengucapkan takziah kepada semua. Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika ini.

"Saya bergegas ke Surabaya. Apa sahaja yang kita boleh lakukan di AirAsia, kita akan lakukan," katanya di akaun Twitter miliknya sebaik sahaja pasukan operasi mencari Indonesia menemui mayat berhampiran dengan lokasi di mana serpihan dijumpai.

Ketua Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo pada petang Selasa berkata, mereka pasti "95 peratus" bahawa serpihan yang dikesan itu milik pesawat yang hilang, selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan udara trafik pada awal pagi Selasa, dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Stesen televisyen Indonesia, TVOne turut menyiarkan rakaman secara langsung mengenai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui objek yang kelihatan seperti mayat terapung di perairan.
Beberapa media melaporkan sebanyak enam mayat ditemui setakat ini, dan dijangka dibawa ke Pangkalan Bun di Kalimantan.

Sebuah pesawat operasi mencari turut mengesan 'bayang' di dasar laut yang menyerupai bentuk sebuah pesawat, dipercayai milik pesawat yang hilang.

Tiada ulasan: