HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Disember 2014

PAS: K'jaan tak utamakan pengurusan bencana

MALAYSIAKINI


 


Peruntukan RM9.3 juta untuk pengurusan bencana alam dalam belanjawan 2015 tidak menunjukkan perkara itu diutamakan, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Pengerusi Pengurusan Bencana Alam (MEDM) PAS itu berkata demikian ketika membandingkan jumlah itu dengan peruntukan besar kepada projek PERMATA, yang diasaskan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

“Belanjawan negara 2015 untuk menangani bencana alam hanya diberikan sebanyak RM9.3 juta berbanding PERMATA (dan beberapa pihak lagi) sebanyak RM 711 juta,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebelum ini menjelaskan, PERMATA tidak menerima keseluruhan RM711 juta yang didakwa sebaliknya hanya sebahagian daripadanya.

Belanjawan 2015 yang dibentangkan Oktober lalu, memperuntukkan RM711 juta kepada PERMATA, Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan, bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.

Pecahan belanjawan itu menyatakan anggaran RM42,831,500 pada 2014 dan 30,690,100 pada 2015 untuk PERMATA.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Salahuddin berkata kerajaan harus memberi perhatian terhadap pengurusan bencana.

Ini kerana, katanya, kerajaan bukan tidak mempunyai pengalaman menguruskannya.

"Saya harap ia (pengurusan banjir) jadi keutamaan," katanya.

Tiada ulasan: