shahbudindotcom
Hanya
beberapa jam saja lagi, tirai tahun 2014 akan berlabuh untuk digantikan
dengan ketibaan tahun baru 2015 pula. Tahun 2014 adalah tahun penuh
duka sengsara bagi rakyat negara kita, bahkan mungkin boleh dianggap
sebagai tahun paling banyak menumpahkan airmata.
Bermula
dengan tragedi empangan kering di Lembah Kelang dan beberapa negeri
pada bulan Februari dan berlarutan sehingga April yang menyaksikan kita
bukan saja dihimpit kemarau, bahkan juga kekurangan bekalan air untuk
kehidupan seharian, kita kemudian dikejutkan dengan kehilangan pesawat
MH370 pada bulan Mac tahun yang sama.
Meski
berbagai usaha dan ikhtiar dijalankan, nasib penumpang dan pesawat
milik MAS itu kekal misteri sehingga kini. Tidak diketahui sama ada ia
tersembam di dasar bumi, terperosok di celah karang lautan yang dalam,
reput di dalam hutan yang tebal atau tersembunyi di ruang angkasa.
Bersama peredaran masa, tak terkira berapa banyak air mata keluarga mangsa serta rakyat yang simpati tumpah kerananya.
Pada
bulan Julai pula, ketika umat Islam menyambut puasa dan bersedia
menyambut Hari Raya, kita dikejutkan lagi dengan kehilangan sebuah lagi
pesawat MAS iaitu MH17. Kali ini ia ditembak jatuh di timur Ukraine
sehingga menyebabkan semua penumpangnya terdampar tidak bernyawa.
Sekali lagi, air mata keluarga mangsa dan rakyat jelata yang bersimpati tumpah kerananya.
Di
penghujung tahun ini, sebuah lagi pesawat terhempas dan mengorbankan
ratusan nyawa. Walaupun pesawat yang terhempas adalah Air Asia Indonesia
tetapi kerana ia berada dalam Kumpulan Air Asia yang dimiliki rakyat
negara kita, tambahan pula Malaysia dan Indonesia serumpun serta
sebangsa, derita dan air mata turut juga tumpah disebabkannya.
Kehilangan
tiga pesawat dalam tempoh setahun barangkali suatu sejarah dan tiada
negara yang mengalaminya sehingga diam-diam ada yang mula bertanya,
musibah atau ujian apa yang mahu ditunjukkan Tuhan kepada kita?
Memikirkan semua itu, air mata pasti menitis juga.
Pada
bulan Disember 2014 ini juga, beberapa negeri terutama di Pantai Timur
dilanda musibah banjir yang begitu luar biasa hebatnya. Banyak kerosakan
harta benda, kemusnahan barang berharga dan kehilangan jiwa telah
melanda.
Sehingga
ini pun, banjir masih menggila di beberapa tempat di seluruh negara.
Nilai kemusnahan tak terbilang lagi dek angka, lalu hanya airmata
sebagai penenang jiwa sambil berdoa kepada Yang Maha Esa.
Tragisnya
banjir kali ini menyababkan ramai rakan-rakan kita yang ditimpa musibah
ini tidak merasai apa-apa yang istimewa dengan kedatangan tahun baru
2015. Mereka menangis dan menumpahkan airmata di penghujung 2014 dan
kekal menyambut ambang 2015 dengan duka dan airmata juga.
Di
celah-celah semua tragedi dan musibah itu, kita juga dihadapkan dengan
kejadian jerebu sekali-sekala, soalan bocor bertimpa-timpa dan pelbagai
kejadian lain yang meruntun jiwa.
Politik
kita pula tidak pernah amannya, hubungan kaum sentiasa dalam sengketa,
pembaziran di mana-mana, hutang negara berganda-ganda dan sesama
pemimpin pula lebih suka berlaga serta bersengketa.
Di
tahun 2014 juga, kita dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang
yang berpunca daripada minyak yang dinaikkan beberapa kali harganya.
Walaupun menjelang awal tahun baru 2015 nanti, kita bakal menerima
khabar gembira penurunan harga petrol dan diesel kerana harga di seluruh
dunia turun sama, kita juga sebenarnya tidak tahu sejauh mana penurunan
itu bakal menggembirakan kita.
Mungkinlah
penurunan harga minyak ini hanya untuk beberapa bulan saja, tapi yang
sedihnya harga barang tidak pernah turun-turun juga.
Pendeknya,
berbanding tahun-tahun sebelumnya, 2014 adalah paling menyedihkan,
penuh airmata dan membuatkan kita lebih banyak bersedih daripada
bergembira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan